ZINE SAI-FAI.COM ISU 01
CEREKAWALA
RESENSI: TAKLUK JAGAT: FANTASI MELAYU
CERPEN SAI-FAI: WIRA KOTA SIANTAN ZARAH ILUSI
CAKNA CEREKA: PUAKA DUNWICH
REnCAnA SAI-FAI: SEMUANKA DALAM NOVA
Terbaru dari Komik-M! KOMIK-M HIBRID KRISIS SAIKANDI PRIMA KENYALAN
Sudah berada di pasaran! Dapatkan segera!
Etos Editor
Eurekawala!
Sememangnya semua perkara tidak bergerak dengan sendiri. Partikelpartikel saling bergetar dan bertindak balas, membentuk pelbagai kemungkinan akibat fizikal dan metafizikal. Membentuk hidup bila disatukan, bertindakbalas dan sebati. Hidup tercerna daripada kaos ketidak menentu. Ketidak menentu membentuk idea. Hukum dinamisme. Hukum bukan hukum jika tidak ada pemacu dan anu yang dipacu. Zine ini pun tidak akan berlaku jika orang-orang yang bertanggungjawab akannya tidak memacu: meluah dan membuat sesuatu. Kita cuba membuat sesuatu.
Sesungguhnya zine ini bukan zine yang menampilkan fiksyen sains per se oleh sebab dunia genre ini pernah didefinisi, ditelagah dan dianalisa secara panjang, lama dan luas, Lewis Caroll boleh saja menjadi perintis cyberpunk atau David Brin boleh saja mencangkul kembali roman epik purba. Dunia sains memang berhukum dan memerlukan penelitian deduktif untuk membuktikan fenomena dan apa yang membuat dunia ini berdetik. Tetapi pemikiran manusia luas tanpa hukum yang deduktif, mantik yang mencantumkan aksiom-aksiom yang lebih purba dari bumi, yang membuat kita boleh terbang tanpa graviti. Dengan semangat ini kami mulakan zine ini, buat kami, buat kalian, buat masa depan. Ini satu permulaan.
Fadli al-Akiti
Rencana Sai-Fai
Semuanya Dalam Nova Oleh FADLI AL-AKITI
Nova dalam cerita fiksyen sains (dan kadang-kala juga fantasi, walaupun fantasi lebih luas ruang pengolahan plot, fungsi dan logik "dunia"nya) adalah "titik tema" atau "pusat tema" dalam sai fai.
Bayangkan "novum" (yang secara literalnya diertikan sebagai "baharu") adalah kuning telur dalam cereka yang kalian masak. Ia adalah pusat rujukan buat setiap pengembangan plot, logik dunia (bumi, angkasa lepas, kapal angkasa, planet makhluk asing, barzakh, dunia siber, alam dalam kepintaran buatan sebuah robot), penstrukturan dinamisme idea asing
(serta McGuffin) yang berkait serta sumbangan interaksi primer terhadap watak dalam cerita yang membuat watak itu mengemukakan perspektif humanisme terhadap "sense of wonder' yang dicipta oleh "novum" itu.
Ambil contoh Frankenstein oleh Mary Shelly (diiktiraf secara rasmi sebagai antara novel fiksyen sains pertama dunia). "Novum" atau tema yang dipermainkan di sini ialah penganimasi semula (reanimation) jasad yang tidak
bernyawa, di mana Shelly mengambil pengisian teksual Johann Wolfgang von Goethe dalam Faust di mana protagonis dalam karya romantis agung ini menjalani perjuangan menjajah alam bukan fizikal (the unknown) dengan memperjudikan manusiawinya. Buat Goethe, hero pejuang idealisme romantisnya berjaya mencapai harapannya. Buat Shelly, mencari sesuatu dari alam lain yang tidak kita fahami membawa porak-peranda.
Dr. Frankenstein yang mengurung diri untuk memahami kematian dan "melawan" fenomena semula jadinya (dengan penciptaan makhluk hidup daripadamayat mati)telah menyebabkan kehilangan keluarganya, isterinya serta rohnya (bukan seperti Faust yang menemui rohnya kembali walaupun telah bersumpah dengan Iblis). Penganimasi semula ini merupakan idea utama, membawa
Tema berkenaan makhluk asing merupakan "novum" yang biasa dipilih oleh seorang penulis tempatan. Kedua, tema kapal angkasa. Nasib baik, pada era akhir 90-an dan awal abad ke-21 ini, "novum-novum" segar mula terbentuk.
sekujur mayat untuk hidup semula dengan kompleksiti dan pemahaman teori sains zaman itu. Kesemua logis terhadap era itu, hal-hal ngeri dan humanisme terhadap "makhluk" yang dicipta dan jiwa Dr. Frankenstein yang dimamah sedikit demi sedikit setiap hari kerana perjuangannya, kesemuanya terikat dengan keinginan "bilazim" terhadap hukum alam itu.
Maka itu apabila kalian menulis sebuah fiksyen sains, soal diri sendiri: Apakah persoalan yang anda mahu sampaikan, dan mengapa? "Novum" ini adalah titik idea yang dikembangkan, berkait-kait dan menyatukan keseluruhan teksual dan simbolisme yang kalian sampaikan dalam sesebuah cerita. Kadang-kadang, "novum" boleh membentuk lebih daripada dua, tetapi hal itu jarang-jarang berlaku dalam penulisan sai fai biasa.
Tema berkenaan makhluk asing merupakan "novum" yang biasa dipilih oleh seorang penulis tempatan. Kedua, tema kapal angkasa. Nasib baik, pada era akhir 90-an dan awal abad ke-21 ini, "novum-novum" segar mula terbentuk. Ini adalah segelintir daripadanya:
Nizam Zakaria: Awang Vampiro (2008) bukan hanya menceritakan sebuah dongeng vampir dalam latar dunia Melayu tetapi tema mesin masa dan sejarah alternatif (alternate history), dua "nova" yang jarang-jarang pembaca Malaysia temui dalam sebuah novel seram. Ya, sebenarnya seram/fantasi dalam novel ini adalah kulit, kerana roh dan isinya berjiwa sai fai.
Rahmat Haroun Hashim: Manuklon (1991) merupakan sebuah novel sai fai yang besar jika dilihat dalam ketelitiannya terhadap perjuangan/pertelingkahandalam Islam serta nasionalisme dari segi ketenteraan. Pun begitu, "novum"
yang lebih menarik terletak pada hal teknologi genetik dan kepintaran buatan yang diutarakan, sememangnya relevannya melangkau jauh daripada mana-mana novel fiksyen sains pada zaman itu walaupun sekarang.
Ahmad Zaki Abu Bakar: Wira Pesona Avatari (2000) mengutarakan tema dunia siber dan realiti maya, sepertimana yang dibawa oleh William
Gibson, walaupun skop pembaca Ahmad Zaki adalah kanak-kanak dan remaja, novel ini masih diperlukan dalam mengutarakan budaya siber yang mengubah bagaimana manusia melihat dan menjalankan kerja di dunia ini, walaupun ianya hanya sebuah permainan.
Nazel Hashim Mohamad: Tekad (1990)dan Nekad (2005) adalah novel sai fai pertama Malaysia yang mengutarakan tema "pascaapokalips" dalam latar suasana dan budaya tempatan. Kepentingan ini terletak dalam persoalan kehakisan lalu kemudian keterasingan nilai agama, budaya dan modenisasi yang kita kenal telah meninggalkan sekumpulan manusia yang hidup di dalam belantara. Nazel mencipta manusia-manusia yang membina hidup baru dengan persekitaran baru. Isu-isu "kepupusan sejarah/budaya" yang dikemukakan masih segar dan menyentak sampai sekarang.
Firdaus Ariff: Sayap Adinila (2008) memaparkan dunia Malaysia ini masih boleh dipinjam pakai untuk mencipta dunia-dunia pelbagai, satu tema yang biasa digunakan oleh penulis fiksyen sains/fantasi barat tapi sangat jarang digunakan di Malaysia (kecuali genre fantasi). Tema ini dipanggil sebagai dunia alternatif (alternate world), dan Firdaus memperkenalkan kita dengan Dunia Kristal, segala teknologi, budaya, sejarah, nilai hidup berkait dengan "batu kristal". Firdaus bukan sahaja berjaya membawa sebuah dunia tersendiri tetapi mempunyai falsafah dan nilai budaya yang hidup tetapi tidak pernah "asing" buat kita.
Cerpen Sal-Fai
Wira Kota Siantan (bahagian 1 daripada 2) Oleh ZULKIFLI KHAIR
PASTI, memang pasti. Besok kota ini akan dikepung atau diserang. Itulah yang aku dengar daripada perbualan orang-ramai lalu disahkan oleh Datuk Kota Siantan. Khabarnya maklumat itu hasil daripada perisikan pihak tentera. Pihak musuh dikatakan mahu menyerang secara mengejut, barangkali seperti yang digagaskan dalam kitab strategi klasik karya Sun Tzu. Siantan ternyata tidak seperti bunga siantan yang selama ini hampir tidak dipedulikan, tapi kini entah mengapa pula siantan mahu dirobek dan dihiris tanpa sebarang sebab yang munasabah!
Tiba-tiba siren berbunyi. Bingit sekali.
"Ya, Allah. Cepatnya!" Sarjan Hasan mengangkat muka, lalu memandang ke arah langit yang masih belum gelap. Sedang wajahnya yang bujur serius itu masih belum gelap dan aku masih dapat lihat dengan jelas. Begitu juga dengan senapang MP5A7 yang amat jitu untuk jarak kurang daripada 200 meter yang disandang di bahunya. Telefon bimbit dijarakkan dari telinga. "Semua bersedia! Jangan sekali-kali leka! Bertindak mengikut arahan!"
"Saya mahu tolong," rayuku. Sejurus selepas memandang wajahnya, aku kembali memandang senapang yang boleh memuntahkan sebanyak 100 butir peluru seminit.
"Kau baru 15 tahun. Duduk diam-diam di sini. Bahaya."
Aku faham. Sarjan Hasan masih tegas dengan keputusannya. Namun itu
lebih baik berbanding seorang lelaki berbaju celoreng lusuh yang berada di Kubu Berani yang sering mencemik dan memandang sinis ke arah aku. Aku langsung mengikut arahan Sarjan Hasan, duduk di muka terowong bawah tanah di Kubu Perkasa.
"Warga Siantan sekalian. Ingat, kalian tidak boleh berdiam diri dan berpeluk tubuh. Siapa lagi yang hendak diharapkan dalam mempertahankan kota ini? Siapa? Kalau tidak tuan-tuan dan puanpuan sekalian?" Datuk Kota Siantan memulakan ucapan dengan penuh yakin lagi retorik. "Nah,sekarangbuktikan.
Kotakan apa yang dikata. Kalau sebelum ini sebahagian daripada anda sering mencemuh kegagalan nenek moyang dalam pertahankan kota, sekarang giliran anda yang terpaksa menghadapi cabaran yang tidak diundang ini, sebagai generasi terbaik sebagaimana yang kalian dakwa."
Aku perhatikan reaksi ibu yang sedikit gelisah. Barangkali ibu tidak senang dengan kata-kata sindiran tersebut.
"Kita mesti berganding bahu mempertahankan kota ini tanpa mengira perbezaan umur dan warna kulit. Kota Siantan adalah kota saya, kota tuan-tuan dan puan-puan semua. Kota Siantan adalah kota warisan zaman berzaman. Inilah kota yang menjadi simbol peradaban kita...." Kata-kata Datuk Kota Siantan disambut dengan laungan semangat dalam kalangan sebahagian anak-anak muda yang hadir.
Trap, tap, tap, tap... Tiba-tiba kedengaran bunyi aneh.
"Tuan, semuanya kelongsong peluru yang tidak meletup!"
Suara itu agak sayup. Datang dari atas sementara aku bersama PDA peninggalan ayah berada bagai terperosok di dasar kubu. Aku mendengar dengan teliti. Aku syak, kubu tidak dihujani dengan tembakan sebaliknya dihujani dengan sejumlah kelongsong peluru kosong, sebagaimana keadaan yang pernah digambarkan dalam sebuah novel karya Max Yard, Conventional.
"Ini tentu helah. Pakai topeng pernafasan sekarang. Beritahu yang lain." Sarjan Hasan memberi arahan.
"Baik tuan!"
Aku sedikit cemas. Kelam kabut aku mencari topeng dari almari berhampiran (ada label di situ). Takut memang takut, tapi inilah perkara yang mesti aku harungi selepas bertindak nekad menyusup masuk ke dalam jip tentera untuk
bersama-sama platun yang ditugaskan mengawal sempadan selatan Siantan. Tekadku, mahu bersama-sama pasukan militari pertahankan kota Siantan. Bukankah ini juga dikehendaki oleh Allah?
"Asap, asap!"
"Gas beracun."
Sah. Memang sah. Inilah strategi yang digunakan dalam novel
Conventional dan kemudiannya difilemkan dengan judul My Land, My World. Bukan gas beracun sebenarnya, tetapi sekadar gas pemedih mata sebagai suatu gimik dan perang psikologi. Seingat aku, pasukan di Kubu Perkasa paling awal melepaskan tembakan menerusi senapang berat automatik HMG 09. Lalu diikuti oleh pelancaran anti kereta kebal.
Selang seminit, ada bedilan kuat di beberapa tempat. Bertalu-talu. Pihak Siantan dan pihak Exora berbalas tembakan, berlangsung sehingga tujuh hari tujuh malam; makan tak kenyang, tidur tak lena dan langsung tiada masa untuk mandi kecuali mengambil wuduk untuk solat.
Rupa-rupanya memang telah ditakdirkan Allah untuk aku memegang senjata. Aku gantikan tempat lelaki berbaju celoreng lusuh yang berada di Kubu Berani setelah diizinkan oleh Sarjan Hasan. Dia terkorban. Kepalanya ditembusi peluru betul-betul di sisi kening kanan. Pada ketika itu, HMG 09 terlalu panas untuk dipegang. Terpaksa aku guna sarung tangan penebat. Kemudian apa lagi, sambil berlindung di balik timbunan benteng pasir aku muntahkan peluru ke arah musuh yang semakin menghampiri garisan sempadan kota Siantan.
Tiba-tiba tiada tembakan daripada pihak musuh. Sarjan Hasan paling awal yang mengesan akan hal itu. Aku sendiri dapat saksikan pengunduran tentera jalan kaki dan kereta kebal pihak musuh. Entah apa lagi helah mereka selepas ini.
Bersambung...
Cerpen Sai-Fai
Zarah Ilusi (bahagian 1 daripada 5) Oleh SITI NOR SANTI BT MOHD SAFAWI
PENERBANGAN telah melewati di atas Lautan Atlantik. Biru. Dari jauh pantulan cahaya yang amat menyilaukan mencuri masuk ke ruang hadapan melalui kaca komposit delima. Amat memedihkan mata. Bukaan kelopak mata kuyu Sir Fedler Harami disempitkan. Bertambah kuyu. Terserlah wajah kacukan Jepun-Perancis yang sudah melewati usia empat puluhan itu. Beberapa garisan jalur melintang seakan-akan bercantum namun tidak selari. Dahinya berkerut. Segera sebentuk kaca mata hitam ilusi koordinat yang sedia terpasang bersama fon kepala dijatuhkan menghijab kesilauan yang membolos garang.
"Kita hampir tiba ke titik koordinat sifar! Kelajuan akan ditambah melawan daya graviti! Hanya beberapa detik daripada kiraan tujuh minit." Sir Fedler Harami sebagai juruterbang bertauliah melaporkan kedudukan mereka. Suatu pengalaman baru bakal ditempa. Sangat berharga. Tidak ada dijual di mana-mana.
Tujuh orang semuanya termasuk seorang juruterbang yang hebat di mata jutaan warga Kota Wexire. Kedudukan kerusi anak kapal masing-masing amat sistematik, seiring dengan jenis tanggungjawab yang dijunjung berat. Mereka semua berada pada kedudukan seperti dalam kapal angkasa yang bulat. Masing-masing membelakangi yang lain dan mereka boleh mengubah kedudukan dengan hanya menekan butang sama ada ke arah utara, selatan, timur mahupun barat mengikut kesesuaian kecuali juruterbang dan kapten misi. Ruang itu diberi nama makmal kawalan misi. Terletak pada kedudukan di tengah-tengah badan jet Gagak Hitam
SB1 (Segitiga Bermuda 1). Terpisah daripada tempat khas Sir Fedler Harami. Ruang khas Dr. Borhan Arshad sebagai kapten misi pula berada pada kedudukan di antara kabin juruterbang dan makmal kawalan misi. Bererti Dr. Borhan Arshad boleh menyaksikan ke dua-duanya sekali bertugas.
"Mulakan sistem peralihan bentuk kapal selam!" Arahan daripada Dr. Borhan Arshad sebagai kapten misi mengganggu perasaan lima anak kapal yang lain tak terkecuali Sir Hendra Sahak. Masing-masing diserang rasa gugup. Hemoglobin menular laju menusuk ruang dituju. Rasa tidak tenteram menerkam.
"Arahan diterima. Matlamat jelas tidak mengelirukan. Faham. Bertindak mengikut arahan Tuan Kapten!" Sir Hendra Sahak segera menyahut dengan ayat klise bagi Gagak Hitam dan suaranya dialirkan secara langsung melalui mikrofon yang
pastinya akan tersebar kepada semua anggota yang lain. Sistem struktur jet akan bertukar bentuk kepada struktur kapal selam hanya dalam kiraan lima belas saat. Gegaran kuat dapat dirasai oleh anak-anak kapal. Masingmasing tidak stabil walaupun duduk pada kerusi yang telah dipasang alat tali pinggang keledar yang kemas. Hampir loya.
"Bongkokkan badan! Kiraan 65 darjah!" Dr. Borhan Arshad memberi arahan kepada anak kapalnya. Ia bertujuan mengurangkan daya graviti untuk kestabilan badan yang maksima. Kelihatan jelas pergerakan peralihan struktur dengan kuasa teknologi yang tinggi yang pantas pada skrin di tempat duduk masing-masing. Menakjubkan. Hanya bahagian bentuk dalam yang tidak berubah. Dari luar jet Gagak Hitam SB1 sudah bertukar wajah kapal selam namun masih boleh terbang sebelum mencecah ke titik koordinat sifar untuk menjunam ke dasar laut.
"Lengkap! Peralihan struktur kapal selam sempurna. Perlukan arahan seterusnya." Sir Hendra Sahak melaporkan kejayaan tugasnya. Senyuman kepuasan dan anggukan kemegahan sengaja dicipta. Berlagak.
"Tahniah Sir Hendra! Sampaikan maklumat ke pangkalan data Gagak Hitam! Dr. John David mainkan peranan!" Arahan seterusnya menyusul dengan nada yang pantas dan tegas.
Giliran Dr. John David sebagai pakar juruteknik sistem tiba. "Arahan diterima. Matlamat jelas tidak mengelirukan. Faham. Bertindak mengikut arahan Tuan Kapten!" Segera jemarinya menekan skrin sesentuh di depannya yang bersudut 40 darjahuntukmenghantar
laporan maklumat kejayaan peralihan struktur.
"Fasa pertama peralihan struktur kapal selam berjaya. Kami menghampiri koordinat sifar. Anggota misi dalam keadaan selamat."Satu catatan ringkas tertera. Arahan Hantar pada skrin itu segera disentuh jari telunjuk kanannya. Perkataan seterusnya tampil. "Dokumen diproses." Beberapa detik dinanti. Tiada maklum balas daripada sistem.
Dr. John David sempat menelan air liurnya. Terasa payah untuk menelan bagai ada sesuatu yang menghalang. Lampu merah tiba-tiba menyala-
nyala pada papan sistem. Skrin sesentuh memberontak. Ada sesuatu yang tak kena. Perkataan yang amat menggerunkan menjelma "Penghantaran dokumen gagal." Matanya membutang. Bulat. Mulutnya terlopong. Hodoh.
Dr. Borhan Arshad masih menanti laporan penghantaran maklumat Dr. John David. Curiga bertakhta.
"Dr. John David. Laporkan dengan segera!" Bergema arahan itu ke seluruh deria pendengaran anggota misi. Bagaikan mati kutu, Dr. John David masih membisu.
"Kita memasuki titik koordinat sifar, sistem kompas tak berfungsi, kawalan huru hara dan...." Suara Sir Fedler Harami yang cemas pula mencelah tiba-tiba namun lenyap begitu sahaja. Kesilauan yang melampau. Kapal selam itu berpusing laju pada putaran orbit tak menentu. Bagaikan diterajang putaran angin puting beliung. Ganas. Akhirnya lenyap daripada zahir pandangan kasar. Sekelip kerdipan mata. Maya. Ghaib begitu sahaja. Tak guna!
Bersambung...
Cerpen Sal-Fai
MANDA
Oleh MAT JAN
MONGOLIA, 3007 MASEHI
Hari itu Pesta Nadam. Orang ramai berkumpul di tengah padang rumput berlatarkan gunung-ganang yang indah. Mereka berlumba kuda, memanah dan bergusti.
Gansukh yang siap memakai shudag, mula menyarung jodag dan gutal. Dia sudah bersedia untuk bertarung dengan Tomorbatar dalam pertandingan akhir gusti kalah mati itu.
Di tepi gelanggang kelihatan Narantuya, kekasih Gansukh. Perlawanan akan bermula bila-bila masa. Gansukh dan Tomorbatar bertentang mata.
Tiba-tiba bumi terasa bergegar. Runtuhan batu jatuh dari gunung-ganang. Keluar besi seakan-akan mata gerudi dari bawah tanah, di celah-celah pertembungan Gansukh dan Tomorbatar. Mereka berdua berundur setapak demi setapak. Padang merekah. Rekahannya semakin lama semakin luas. Orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri. Masing-masing menjerit ketakutan. Mata gerudi berbentuk kon semakin lama semakin membesar keluar dari perut bumi. Sebuah kenderaan seakan-akan kereta kebal, tetapi dua kali ganda lebih besar, dengan mata gerudi gergasi berbentuk kon, keluar dari bawah tanah.
Gegaran terhenti. Tiada lagi runtuhan batu jatuh dari gunung-ganang. Tiada lagi rekahan di atas padang. Suasana senyap sunyi. Semua mata tertumpu pada kenderaan aneh di tengah padang.
Gansukh dan Tomorbatar memberanikan diri menghampiri kenderaan itu. Tiba-tiba pintu di puncak kenderaan itu terbuka. Keluar seorang demi seorang makhluk aneh dari kenderaan itu. Mereka berdiri berhampiran kenderaan tadi. Fizikal mereka seakan-akan manusia, tetapi saiz mereka dua kali ganda lebih besar. Badan mereka berbulu, bertompok-tompok hitam dan putih. Mereka masing-masing memegang objek panjang berbentuk silinder.
"Apakah ini yang diramalkan dalam kitab-kitab suci? Keluarnya kaum dari bawah tanah?" bisik hati Narantuya, "Yakjuj dan Makjuj dalam kitab Islam, Gog dan Magog dalam kitab Yahudi-Kristian, Koka dan Vikoka dalam kitab Hindu?"
"KIAMAT!!!" jerit Tomorbatar.
Salah seorang makhluk aneh mengacu silinder panjangnya ke arah Tomorbatar. Keluar cahaya laser dari muncung silinder itu. Sebaik sahaja laser mengenai Tomorbatar, dia pecah berderai menjadi abu. Barulah manusia di situ tahu, silinder itu adalah senjata. Kenderaan bergerudi tadi mula bergerak ke hadapan. Makhluk-makhluk aneh itu juga berjalan ke hadapan.
Manusia lari bertempiaran. Sang makhluk mula melepaskan tembakan, das demi das. Seorang demi seorang manusia berderai menjadi abu. Gansukh menarik tangan Narantuya, mereka berlari sekuat hati.
Bumi kembali bergegar. Tanah kembali merekah. Runtuhan batu mula jatuh dari gunung-ganang. Pelbagai jenis kenderaan gergasi keluar dari bawah tanah melalui lubang yang digali kenderaan bergerudi tadi. Tidak henti-henti. Tidak putus-putus. Berpuluh-puluh, beratus-ratus, malah beribu-ribu. Kenderaan-kenderaan itu bergerak ke arah yang berbeza. Dari setiap kenderaan, keluar beberapa orang tentera sang makhluk. Masingmasing melepaskan tembakan laser. Manusia mati dan binaan musnah. Keadaan huru-hara.
Sang makhluk mara ke arah Rusia, China, Afghanistan dan Korea. Dalam tempoh 24 jam sahaja, mereka menakluk seluruh dunia.
"Sampai bila kita akan terus begini?" Gansukh bertanya kekasihnya. Kaki Gansukh bergari. Kaki Narantuya pun bergari. Begitu juga kaki manusiamanusia lain yang ditawan oleh sang makhluk dan dijadikan hamba abdi.
"Sampai tiba Sang Penyelamat," kata Narantuya.
Begitulah khabar yang tersebar dari mulut ke mulut. Khabarnya, ramalan itu berbunyi: "Adapun Sang Penyelamat itu turunnya dari langit, bangkitnya ia di tanah yang enam purnama siangnya dan enam purnama malamnya, dan ia membawa panji-panji."
000
MALAYSIA, 2007 MASEHI
Alif memecut laju. Di belakang motosikalnya, motosikal Baha menghimpit rapat. Begitulah rutin malam minggu mereka dan kawankawan.
Di satu simpang, Baha berjaya memintas Alif. Malangnya, datang satu lori kontena dari sisi kiri Baha. Lori itu melanggar motosikal Baha. Baha digilis lori. Kepalanya pecah, biji matanya terkeluar, perutnya terburai, kakinya patah.
Alif menyaksikan secara live kawan baiknya itu mati di depan mata. Sejak itu dia insaf. Dia tidak merempit lagi. Alif, dan rakan-rakan mat rempitnya yang insaf, kemudiannya menyertai Putera UMNO.
Mereka kemudian dibawa menjalani latihan payung terjun di Rusia. Setelah tamat latihan, Alif dilantik menjadi ketua pasukan payung terjun.
Mereka terjun beramai-ramai di Kutub Utara, dengan Alif membawa bendera Malaysia. Semua anggota pasukan berjaya mendarat dengan selamat. Kecuali Alif.
Semasa mendarat, Alif terbolos ke dalam runtuhan ais. Dia terjerumus jauh ke dalam ais, dan blok-blok ais jatuh menimbusnya. Alif terperangkap dalam suhu hampir -200 °C.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan. Namun, jasad Alif gagal ditemui. Esoknya, terpampang di dada akhbar:
PM Sifatkan Alif Wira Negara
PUTRAJAYA: Alif Firdaus, 23, yang terkorban dalam nahas payung terjun Kutub Utara, disifatkan Perdana Menteri sebagai wira negara.
Zaman Dinasti Sung. China diperintah oleh Maharaja Zhao yang karismatik. Namun di sebalik karismanya, Maharaja Zhao memiliki tabiat rahsia yang pelik. Dia suka menoda panda. Suatu hari panda nodaannya melahirkan sepasang kembar, jantan dan betina. Fizikal mereka seperti manusia, tetapi diselimuti bulu hitam dan putih seperti panda.
Kerana takut rahsianya terbongkar, dan seterusnya tercatat dalam sejarah China sebagai 'Maharaja Penoda Panda', Maharaja Zhao membuang kedua-dua bayi manusia-panda itu ke dalam perigi buta di belakang istananya. Perigi buta itu adalah perigi yang paling dalam di China.
Maharaja Zhao lega.
Maharaja Zhao kemudiannya mengarahkan pembinaan satu tembok yang besar mengelilingi istananya. Laluan tembok itu menutup lubang perigi buta. Dan sekali gus menutup rahsia gelapnya.
BAWAH TANAH
Seperti Adam dan Hawa yang dibuang dari langit ke bumi, begitulah nasibnya dua makhluk manusia-panda yang dibuang dari atas tanah ke bawah tanah itu.
Mereka hidup dengan zat galian dan air bawah tanah. Mereka membiak di dalam tanah, menjadi kaum Manda. Kaum Manda menggali tanah meluaskan wilayah mereka. Dengan batu dan logam di bawah tanah, mereka membina tamadun sendiri.
Bangunan didirikan. Kenderaan dan senjata dicipta. Semakin lama mereka semakin maju. Jumlah mereka juga semakin lama semakin ramai.
Tatkala kaum manusia mencipta roket dan melancarkan misi ke angkasa lepas, kaum Manda pula mencipta kenderaan bergerudi bagi melancarkan misi ke atas tanah.
Selepas 2000 tahun, akhirnya misi mereka berjaya. Pada tahun 3007 masehi, mereka berjaya keluar dari tanah. Mereka muncul di Mongolia sewaktu Pesta Nadam diraikan.
Dari Mongolia, mereka bergerak ke seluruh pelusuk dunia. Mereka cuba diperangi manusia, namun gagal. Nampaknya Perjanjian Pengharaman Senjata Api & Kenderaan Perang yang ditandatangani oleh negara-negara dunia pada tahun 2525 masehi telah memakan diri.
Perjanjian itu, yang ditandatangani selepas Perang Dunia Ketiga, pada asalnya berniat untuk keamanan manusia sejagat. Semua senjata api dan kenderaan perang diharamkan. Tanpa senjata api dan kenderaan perang, sangka manusia, dunia akan lebih aman. Namun, apabila manusia diserang kaum Manda dengan senjata dan kenderaan perang yang canggih, manusia tidak dapat mempertahankan diri.
Dalam kitab suci kaum Manda, ada tercatat kisah bagaimana nenek moyang mereka dari kaum manusia telah mencampak mereka ke dalam tanah. Maka, itulah sebabnya mereka menyerang manusia, bagi menuntut bela atas dosa silam nenek moyang manusia.
RUSIA, 3051 MASEHI
44 tahun selepas manusia dijajah Manda. Ozon semakin menipis. Suhu bumi semakin meningkat. Ais di kutub semakin mencair. Tubuh Alif bebas dari pembekuan.
Seperti yang tercatat dalam teori cryonics preservation, tubuh manusia yang dibekukan pada suhu yang sangat rendah boleh dihidupkan pada masa depan, apabila ia dicairkan.
Itulah yang berlaku pada Alif. Dia bangun dan berjalan terpinga-pinga membawa bendera Malaysia. Alif tiba di kawasan berpenduduk. Dia dilihat sekumpulan manusia yang bergari di kaki. Mereka mengerumuni Alif.
"Siapa kamu?" soal seorang penduduk dalam bahasa Rusia.
Alif, yang pernah belajar bahasa Rusia sewaktu menjalani latihan payung terjun suatu ketika dahulu, mula bercerita. Bagaimana dia terjun dari langit, jatuh dalam runtuhan ais di Kutub Utara, lalu bangun dan berjalan ke sini.
Seorang lelaki tua datang menghampiri. Gansukh namanya. Usianya 70 tahun. Dia berasal dari Mongolia, namun dipindahkan ke Rusia oleh pihak berkuasa Manda untuk menjadi buruh paksa di sebuah lombong.
"Turun dari langit?" Gansukh menggaru-garu dagu, membuat tafsiran. "Bangkit di kutub utara... dia membawa bendera... hmm..."
Kutub Utara dan Kutub Selatan, sebagaimana yang kita sedia maklum, mengalami enam bulan siang dan enam bulan malam.
Selepas 44 tahun menunggu, nampaknya Alif menepati ramalan keramat: "Adapun Sang Penyelamat itu turunnya dari langit, bangkitnya ia di tanah yang enam purnama siangnya dan enam purnama malamnya, dan ia membawa panji-panji."
"Sang Penyelamat sudah tiba! Sang Penyelamat sudah tiba!" jerit lelaki tua bernama Gansukh itu.
Suasana menjadi kecoh. Manusia bersorak-sorai gembira. Sorakan mereka menarik perhatian pihak berkuasa Manda. Sekumpulan Manda lengkap bersenjata datang menghampiri.
Melihat kelibat kumpulan Manda itu, manusia-manusia yang mengerumuni Alif mula berdiri di belakang Alif.
Seorang penguatkuasa Manda datang berdepan dengan Alif.
"Akum macam ripat ada itah kan tarognem uka!" kata Manda itu dalam bahasa yang tidak Alif fahami.
"Ha?" kata Alif.
Manda tadi menghunus senjatanya ke arah Alif. Alif ditembak dengan laser, lalu pecah berderai menjadi abu!
Melihat itu, manusia-manusia tadi pun kembali ke lombong, bekerja seperti biasa.
TAMAT
Resensi
Takluk Jagat: Fantasi Melayu Oleh MAT JAN
Kalau orang tanya saya, "Mana novel fantasi Melayu?"
Saya akan tunjukkan dia siri Takluk Jagat. Bukan kerana ia novel fantasi dalam bahasa Melayu, tetapi kerana ia novel fantasi yang menyerapkan elemen-elemen dalam mitologi Melayu.
Novel-novel fantasi barat memasukkan elemen mitologi barat. Kita ambil Lord ofthe Rings (LOTR) sebagai contoh. Nama kaum Elves, Dwarves dan Orcs bukannya dicipta oleh Tolkien. Mereka adalah makhluk-makhluk yang sedia ada dalam mitologi Eropah.
Biasanya novel fantasi, walaupun dalam bahasa Melayu, masih terikut acuan novel fantasi barat. Masih dibancuh dan diadun dengan makhluk, senjata dan magik dari mitologi barat.
Ini berbeza dengan Takluk Jagat, di mana makhluk-makhluk dalam mitologi Melayu yang ditonjolkan. Tanah Ini (semesta Takluk Jagat, seperti Middle-earth dalam LOTR didiami oleh tiga kaum utama: Manusia, Bunian dan Sigorong. Bunian, sebagaimana yang kita tahu, adalah kaum yang tinggal di dimensi lain di dalam hutan, orang-orangnya cantik dan kacak, serta tinggal di istana. Walaupun wujud dalam mitologi Melayu, ciri-ciri Bunian ini, sedikit sebanyak sama dengan karakteristik kaum Elves dalam mitologi Barat. Segala mitos berkaitan Bunian, seperti kerjanya menyesatkan orang di hutan, dan menggunakan burung sebagai pemantau, dimuatkan dalam novel ini. Manakala Sigorong, dalam Takluk Jagat, adalah makhluk hitam (bukan sekadar warna, malah sifatnya) yang masuk ke dalam tubuh manusia yang mengamalkan ilmu pendamping. Apabila seekor Sigorong bergabung dengan seorang manusia, kekuatannya menjadi berkali-kali ganda lebih kuat daripada manusia biasa.
Selain makhluk-makhluk mitos, elemen biasa dalam novel fantasi adalah elemen senjata dan magik (sword & sorcery). Jika LOTR menampilkan senjata-senjata barat seperti pedang dan panah, Takluk Jagat pula menonjolkan senjata-senjata Melayu seperti keris dan lembing. Judul siri ini sendiri adalah nama sebilah keris sakti yang menjadi buruan pelbagai pihak. Dan sekiranya LOTR menonjolkan magik ala-barat oleh wizard seperti Gandalf dan Saruman, Takluk Jagat pula mengetengahkan magikmagik Melayu seperti ilmu pendamping, dan jurus-jurus ilmu batin.
Bagi membolehkan jurus-jurus ilmu batin itu berfungsi, pengamalnya perlu membaca mantera tertentu. Dalam Takluk Jagat, mantera-mantera ini ditulis dalam bentuk pantun enam kerat, yang menambahkan keindahan novel fantasi Melayu ini.
Takluk Jagat diterbitkan dalam dua buku: Bisikan Ariasha dan Amukan Indera Bumi.
Kisahnya berkisar di Tanah Ini. Ia meliputi wilayah Dasyuria, Sedinggi, dan Dakawa yang didiami Manusia, serta wilayah Dilasri dan Kaswana yang didiami Bunian. Sigorong pula datang dari wilayah Sugalimba. Buku 1 (Bisikan Ariasha) lebih kepada personal quest sang hero memburu pembunuh datuk, yang turut mencuri keris pusakanya. Dalam kembaranya, dia berjumpa Zilastra, dan puteri Bunian (Ariasha) yang turut menyertai misinya. Buku 2 (Amukan Indera Bumi) pula tentang peperangan terbesar di Tanah Ini antara angkatan Dasyuria dan Sedinggi yang dibantu tentera Bunian, menentang angkatan Dakawa yang dibantu bala tentera Sigorong. Kedua-dua buku mengandungi peta Tanah Ini bagi memudahkan pembaca membayangkan laluan kembara watak-wataknya.
Novel ini banyak twist dan sub-plot. Sepanjang kembara heronya, satu demi satu watak baru diperkenalkan, dan di hujung cerita, pembaca pasti terkesima dengan love-hate relationship antara watak-watak itu!
Kewujudan siri Takluk Jagat diharap dapat mengisi lompang novel fantasi bahasa Melayu yang kosong selepas siri Saga Artakusiad oleh Ahmad Patria Abdullah yang pernah menjadi kegilaan pembaca suatu ketika dahulu (malah, sehingga hari ini masih ada kelab peminatnyal).
Seperti Saga Artakusiad, saya percaya, siri Takluk Jagat ini berpotensi menjadi novel fantasi kegilaan pembaca dan diingati sepuluh tahun lagi.
Sumbangan Karya/Pandangan
Karya fiksyen, bukan fiksyen tanpa format apa-apa pun (janji tersemat dalam idealisme fiksyen sains, fantasi, seram dan lain-lain genre fiksyen spekulasi) bolehlah dihantar kepada [email protected] untuk disiarkan dalam Cerekawala edisi seterusnya. Kami ada hak untuk menolak mana-mana karya yang tidak sesuai. Tetapi perkara itu tidak mungkin berlaku jika penaakulan mantik dilakukan terhadap niat pembaca yang memilih zine ini. Kami juga mengalu-alukan pandangan saudara-saudari yang bernas untuk evolusi zine ini.
Sai-Fai.com:
Nazri M Annuar Serunai Faqir Fadli al-Akiti Jonos Mat Jan
Terima kasih Zamzami Takoyakichan
Untuk Sebarang Kerja-Kerja Ilustrasi, Sila Hubungi:
Zamzami Mat Zain (freelance illustrator)
Online portfolio: http://zackollections.blogspot.com http://zamzami.deviantart.com
E-mail: [email protected] H/P:019-3898166
Navel SAI-FAI dan FantasiFartuna
SAYAP DINII GALAKSI MUHSININ AZRUL JAINI GARLUK UNGACE GARLUK AA Zaki Zainol BISIK ARIAS Zaki Zaine OPERA ANGKASA SUNI HAWARRE NABIRI n AMMMAR PTS www.noveljantan.blogspot.com Fortuna