Mansuh ISA atau Pinda?
ISA, akta yang membenarkan penahanan tanpa bicara (dengan hampir tiada peruntukan mempertahankan diri melalui proses undang-undang), melanggar pelbagai prinsip-prinsip asas seperti mana termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ini termasuk hak-hak seperti perlindungan terhadap penahanan sewenang-wenangnya dan tanpa bicara, terhadap penyeksaan, kekejaman dan penghinaan yang memalukan. Begitu juga dengan hak untuk menuntut di mahkamah yang bebas dan terbuka jika terdapat dakwaan salahlaku.
Kebanyakan penahanan ISA bersandarkan kepada alasan-alasan yan arbitrari dan samar, tidak yang sepatutnya iaitu dakwaan yang spesifik dan kukuh. Lebih mengejutkan, dalam banyak kes, soal siasat ke atas tahanan tertumpu kepada pengumpulan maklumat risikan politik dan tidak terhadap tuduhan aktiviti merbahaya. Mereka dihasut, digertak dan diseksa untuk "insaf" terhadap pendapat "subversif" mereka.
Akta ISA telah digubal pada 1 Ogos 1960 bagi menangani secara khusus ançaman bersenjata dan kumpulan subversif oleh Parti Komunis Malaya. Kenyataan-kenyataan umum oleh pegawaipegawai kanan kerajaan membuktikan tujuan terhad ISA adalah jelas. Turut dinyatakan bahawa ISA merupakan langkah sementara yang diperlukan sehingga ancaman dapat di atasi.
Soalnya, mengapakah ISA masih dikekalkan, lama setelah ancaman tersebut hilang dan tidak ada ancaman ketara terhadap keselamatan negara?
Banyak kajian tentang sejarah ISA, termasuk oleh SUHAKAM, telah mendedahkan salahguna sistematik akta berkenaan sebagai alat menindas terhadap bantahan yang sah. Tindakan keras yang dilakukan secara kebetulan pada ketika barisan pemerintah menghadapi krisis sokongan masyarakat dengan tahanan dilabel sebagai "komunis", dan kemudian "extremis Islam/pengganas". Label-label tersebut dipilih berpandukan trend dunia ke atas mereka yang mudah menjadi sasaran.
Siapakah mereka yang dikatakan bekas tahanan ISA yang "merbahaya"? Antaranya ialah mereka yang kini terpilih sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri – menandakan bahawa rakyat menyifatkan mereka sebagai orang yang dihormati dan jujur malah dikagumi kerana berani menyatakan kebenaran dan menegakkan prinsip-prinsip yang mulia. Mereka termasuk aktivis sosial, sarjana, penulis dan wartawan, pekerja gereja dan aktivis hak asasi manusia – yang langsung tidak menggambarkan kumpulan subversif bersenjata dan merbahaya.
Mempunyai akta yang membenarkan tahanan tanpa bicara sudah cukup buruk, tetapi ketidakadilan bertambah buruk kerana penyingkiran secara sistematik hampir ke semua ciri-ciri semak dan imbangan yang asal sejak beberapa dekad. Buat masa ini, apabila seseorang diisytiharkan "mengancam keselamatan negara" maka hakikatnya
dia tidak ada capaian kepada mahkamah perundangan untuk mempertahankan dirinya, menyaman untuk pembebasannya dan membersihkan namanya. Walaupun selepas dibebaskan, dia tidak mempunyai pilihan untuk membuktikan dia tidak bersalah. Tempoh penahanannya diputuskan oleh
ahli politik. Selain itu, terdapat hanya sedikit pemantauan bebas layanan terhadap tahanan menyebabkan terhasilnya banyak laporan lengkap insiden penyeksaan fizikal dan mental. Ini termasuklah ketidaktentuan tentang bila mereka boleh dibebaskan (berbeza dengan hukuman penjenayah).
Adalah sangat jelas bahawa jauh daripada melindungi rakyat Malaysia daripada unsur-unsur subversive, ISA sendiri telah secara sistematik diperalatkan untuk memastikan penerusan kuasa Barisan Nasional.
Atas sebab itu, ISA telah mengakibatkan kesengsaraan dan ketidakadilan ke atas ratusan rakyat Malaysia, ramai daripadanya warganegara contoh. Malaysia telah dilucutkan daripada kepintaran, pandangan konstruktif dan kepimpinan mereka iaitu ciri-ciri yang boleh mewujudkan negara yang lebih baik.
Mansuh atau Pinda?
Memandangkan kritikan yang meluas dalam dan luar negara – penggunaan dan penyalahgunaan ISA telah memburukkan reputasi Malaysia di seluruh dunia – kerajaan akhirnya menjanjikan pindaan terhadap ISA. Namun sesuatu yang ketara ialah kerajaan tidak akan mudah melepaskan tongkat paling berkuasa ini. Mereka sedang cuba bersungguh-sungguh menjual idea "pindaan" dan bukan "mansuh". Mengambilkira sejarah ISA setakat ini, terdapat asas yang kuat untuk mengesyaki bahawa pindaan berkenaan akan berupa pindaan kecil dan hanya kosmetik. Ia tidak akan melakukan apa-apa untuk mencegah ketidakadilan berterusan dan pencabulan hak asasi manusia
Undang-undang darurat yang secara fitrah mengongkong hak-hak individu, adalah sesuatu yang harus dielakkan seboleh mungkin. Apa juga cadangan undangundang baru mestilah dirangka oleh sepasukan hakim-hakim berpengalaman dan pakar-pakar perundangan; ia mesti memiliki mekanisme semak dan imbangan yang teliti lagi boleh dipercayai termasuklah klausa peluputan. Ia juga mestilah didebatkan di Parlimen secara menyeluruh dan pandangan masyarakat awam dijemput dan dipertimbangkan.
Lebih penting lagi, kita, rakyat Malaysia mesti memastikan bahawa kerajaan tidak akan berpeluang lagi melakukan ketidakadilan ke atas rakyat.