Baca PDF (OCR): Punk dan Budaya Penentangan: Kajian Kes Rumah Api, Kuala Lumpur

27 halaman · teks PDF berhasil diekstrak tanpa OCR · 2.6 detik

Versi OCR mungkin terdapat kesalahan eja, ketik, tata letak, atau hal terkait tipografi. Untuk ketepatan hasil, silakan merujuk pada dokumen asli.

Daftar isi
  1. ABSTRAK
  2. ABSTRACT
  3. PENGENALAN
  4. SUB-BUDAYA, KEAKURAN DAN BUDAYA PENENTANGAN
  5. BUDAYA PUNK RUMAH API SEBAGAI SUB-BUDAYA
  6. MELAWAN AUTORITI DAN SISTEM KAPITALISME
  7. AKTIVISME POLITIK SEMASA RUMAH API
  8. KESIMPULAN
  9. PENGHARGAAN
  10. NOTA
  11. RUJUKAN

PUNK DAN BUDAYA PENENTANGAN: KAJIAN KES RUMAH API, KUALA LUMPUR

PUNK AND COUNTERCULTURE: THE CASE OF RUMAH API KUALA LUMPUR

Sharifah Nursyahidah Syed Annuar, Muhamad Takiyuddin Ismail* and Muhammad Febriansyah

Faculty of Social Sciences and Humanities, Universiti Kebangsaan Malaysia, MALAYSIA

*Corresponding author: [email protected]

ABSTRAK

Sub-budaya punk berakar dari muzik alternatif dan fesyen tetapi ia mempunyai tradisi kuat dengan politik anti-establishment dan penentangan terhadap sistem kapitalis yang dominan. Justeru, kebanyakan negara khususnya Malaysia memandang budaya punk sebagai negatif kerana ia disifatkan sebagai satu bentuk penyimpangan moral. Artikel ini bertujuan untuk mengimbangi pandangan-pandangan itu dengan menghubungkan punk dengan tindakan politik yang positif. Artikel ini memfokuskan kepada Rumah Api iaitu tempat perkumpulan utama bagi komuniti punk di Kuala Lumpur, dan juga dikenali dengan baik oleh sebahagian besar komuniti punk di Malaysia dan di negaranegara lain. Sebagai simbolik sub-budaya, ketidakakuran budaya dan budaya penentangan, Rumah Api boleh difahami sebagai ekspresi terhadap autoriti dan kapitalisme. Peranannya sebagai simbol budaya penentangan juga berfungsi sebagai kaedah untuk membina identiti individu dan kolektif. Dalam hal ini, penelitian tentang Rumah Api dapat memberikan pemahaman lanjut tidak hanya kepada bagaimana sub-budaya punk memperkasakan seseorang secara peribadi, bahkan bagaimana ia memiliki kaitan dengan konteks politik, ekonomi dan sosial yang mendasari masyarakat. Tindakan atau aksi politik Rumah Api dilihat dipengaruhi oleh prinsip "do-it-yourself" (DIY), anarkisme dan kebebasan. Namun komuniti Rumah Api menghalakan kegiatan mereka kepada kempen sosiopolitik yang positif dan bukannya aktiviti yang subversif dari sudut moral. Hal ini boleh dilihat menerusi aktiviti-aktiviti Really, Really Free Market, Food Not Bombs, Kempen Penentangan Terhadap Projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), "Lepak Anarki" dan Federasi ANTARA, bengkel, pameran dan diskusi. Malah, konsert kecil-kecilan atau gig diadakan untuk mendokong isu-isu semasa. Mutakhir ini, mereka juga semakin aktif mengikuti protes dan demonstrasi jalanan tertentu sehingga mendapat perhatian khusus dari pihak berkuasa. Justeru, artikel ini mengesyorkan bahawa Rumah

Api merupakan contoh terbaik mengenai aktiviti komuniti punk yang merentasi muzik dan fesyen.

Kata kunci: punk, Rumah Api, sub-budaya, keakuran, budaya penentangan

© Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2016

ABSTRACT

Punk subculture is rooted in alternative music and fashion yet it has a strong tradition of anti-establishment politics and opposition to the dominant capitalist system. Thus many countries, Malaysia especially, regard punk culture negatively, as it is considered a form of moral deviation. This article aims to balance that view by connecting punk with positive political action. This article focuses on Rumah Api, the main base for the punk community in Kuala Lumpur, and a site recognised by the Malaysian and overseas punk community. Symbolic of subculture, cultural non-conformity, and counterculture, Rumah Api can be understood as an expression of opposition to authority and capitalism. Its role as a symbol of counterculture also serves as a method by which to build individual and collective identity. Research on Rumah Api therefore provides insight into how punk subculture empowers the inner-self, but also the political, economic and social contexts that underpin our society. The political actions of the Rumah Api community are seemingly influenced by the principle of "do-it-yourself" (DIY), anarchy, and freedom. However the Rumah Api community direct their energies into positive socio-political campaigns, not morally subversive activities. This can be seen in organised activities such as the Really, Really Free Market, Food Not Bombs, campaigns against the Highway Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) development, "Lepak Anarki" and Federasi ANTARA, as well as various workshops, exhibitions and discussions. Small-scale concerts (gigs) have also been held to highlight current issues. Most recently, they have become more active in protests and street demonstrations, for example, which have caught the attention of the authorities. Therefore, this article suggests that Rumah Api epitomises the best example of a punk community that transcends music and fashion.

Keywords: punk, Rumah Api, subculture, conformity, counterculture

PENGENALAN

Secara umum, punk adalah sikap dan kelakuan kerana emosi marah, memberontak dan tidak puas hati. Namun dari sudut muzik dan fesyen, ia merupakan manifestasi kritikan kepada hegemoni politik, ekonomi dan budaya. Kebanyakan komuniti punk juga pesimis terhadap kapitalisme, autoriti, masyarakat dan lain-lain lagi. Justeru, tidak hairan jika punk mudah berkembang di negara-negara yang mempunyai jurang sosial yang lebar. Di Malaysia, kemunculan aliran muzik punk pada mulanya dianggap sebagai muzik bawah tanah. Ia muncul pada akhir tahun 1970-an melalui tiga cara utama iaitu; (1) disebarkan oleh pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di United Kingdom, (2) disebarkan di sekolah-sekolah elit dan sekolah berasrama penuh, dan (3) hebahan kaset, siaran radio gelombang pendek, majalah-majalah terpakai dari United Kingdom seperti "Smash Hits" dan sebagainya. 1 Selain itu, sejarah aliran punk di negara ini juga dapat dilihat melalui titik asal perkumpulan pertama oleh beberapa orang peminat muzik punk yang bermula di pekan Dungun dan berkembang ke bandar Kuala Terengganu pada sekitar tahun 1979; rata-ratanya telah diikuti oleh golongan remaja belasan tahun dan daripada latar belakang keluarga kelas pekerja. 2 Secara perlahan-lahan, ia kemudiannya tersebar ke negeri-negeri lain.

Di Malaysia, punk bagaimanapun merupakan budaya popular yang sering kali dilihat sebagai satu bentuk penyimpangan moral. Bermula dari tahun 1997 sehingga 2006, laporan khas mengenai punk banyak ditonjolkan oleh media perdana dalam sisi yang negatif – budaya kurang ajar, tidak sopan dan tidak sesuai dengan adat resam masyarakat tempatan. Malah, ia turut menjemput campur tangan Majlis Fatwa Kebangsaan yang menyifatkan bahawa pengamalnya telah melanggar syariat dan boleh dihukum di bawah undangundang Syariah (Yuen, 2008). Apatah lagi apabila umum cenderung memandang punk dalam konteks yang terhad iaitu aspek muzik dan fesyen sahaja. Persepsi ini pula menjadi prasangka sehingga mengenepikan sifat atau tindakan politik sebarang komuniti punk di Malaysia. Bahkan, para pengamat ilmu politik keberatan untuk melihat bahawa punk adalah lebih daripada itu. Semua generalisasi yang dihujahkan ini muncul kerana pemerhatian sempit terhadap pengikut-pengikut punk tanpa meneliti partisipasi dan sumbangan dalam masyarakat yang dilakukan oleh beberapa komuniti punk di negara ini.

Dari segi akademik, kajian mengenai punk di Malaysia masih lagi terbatas dan hanya menumpukan perhatian terhadap sudut-sudut tertentu berkaitan nilai, muzik dan sosio-budaya. Umi Khattab (2002) misalnya membahaskan tentang penyimpangan anak-anak muda di negara ini apabila mereka melibatkan diri dalam ritual-ritual muzik dan bagaimana reaksi pihak kerajaan dalam menanggapi situasi itu. Walau bagaimanapun, sedikit sebanyak lompong itu diisi dalam kajian oleh Rokiah (2004) yang meneliti tentang subbudaya muzik yang diminati oleh golongan remaja Melayu bandar. Akan tetapi, penelitian beliau juga tidak begitu menjurus kepada tindakan-tindakan politik. Hal ini diulangi oleh Asharil Suhardi (2005) yang memfokuskan kepada aspek hedonisme. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa beliau ada menyatakan secara ringkas tentang aktiviti Food Not Bombs yang dilakukan oleh komuniti punk di Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, perubahan masa telah menunjukkan bahawa komuniti punk di Malaysia tidak hanya menjalankan aktiviti Food Not Bombs sahaja. Kajian oleh Yuen (2008) dan Azmyl (2010) juga cenderung berkisarkan isu-isu nilai sahaja dan tidak dilanjutkan dalam ruang yang lebih luas. Maka, berdasarkan kajian-kajian lepas dan perkembangan kontemporari, kajian ini cuba untuk mendalami beberapa aspek yang masih lagi tidak diwacanakan. Tindakan politik dan hubungan komuniti punk dengan masyarakat adalah antara aspek yang ingin ditambah baik melalui artikel ini. Hal ini sejajar dengan pertambahan kewujudan komuniti punk yang bersifat politik seperti Rumah Api (Kuala Lumpur), Phantom Limb (Kuching), The Wall (Batu Pahat) dan lain-lain lagi.

Komuniti punk Rumah Api dipilih dalam kajian ini kerana mereka dilihat lebih menonjol dan aktif berbanding dengan komuniti serupa di Kuala Lumpur mahupun di negeri-negeri lain. Selain itu, setiap aksi dan tindakan mereka juga agak bersifat politik sehingga selalu berhadapan dengan pihak autoriti. Justeru, artikel ini bertujuan mengenal pasti jenis, corak amalan dan tingkah laku komuniti punk di Rumah Api serta hubungannya dengan politik, dan membincangkan mengenai sub-budaya, keakuran dan budaya penentangan oleh komuniti punk itu, serta kaitannya dengan masyarakat. Antara beberapa perkara yang dilihat untuk menilai signifikan tumpuan ini dalam konteks yang lebih luas adalah hubungan penglibatan anak-anak muda dalam komuniti punk di Rumah Api dengan kefahaman politik mereka, motivasi yang mendorong mereka untuk melakukan sebarang tindakan atau aksi politik, dan peranan yang dimainkan mereka dalam masyarakat. Selain dari tinjauan kepustakaan, artikel ini juga mendapat faedah daripada pemerhatian turut serta dan temu bual dengan beberapa individu yang aktif di Rumah Api yang telah dilakukan dalam tempoh 9 September 2013 sehingga 1 Mei 2014.

SUB-BUDAYA, KEAKURAN DAN BUDAYA PENENTANGAN

Artikel ini membahaskan mengenai perselisihan antara konsep keakuran dengan budaya penentangan untuk menerangkan selanjutnya tentang tindakan politik oleh komuniti punk di Rumah Api. Artikel ini juga cuba untuk memahami satusatu sub-budaya yang khusus. Hal ini kerana punk yang dimanifestasikan di Rumah Api juga adalah sub-budaya. Maka, sub-budaya, konsep keakuran dan budaya penentangan dijadikan sebagai bahan landasan dalam artikel ini.

Bagi golongan post-modernists dan post-subculturalist, sub-budaya boleh digantikan dengan istilah neo-tribes, scenes, lifestyles dan sebagainya kerana ia mempunyai kerangka yang sama bagi perakuan terhadap sifat sesuatu sub-budaya yang boleh berubah dan tidak tetap (Bennett dan Kahn-Harris, 2004). Istilah ini juga lazim dalam bidang sosiologi dan antropologi untuk merujuk kepada kumpulan orang yang memiliki perilaku yang lain dengan budaya dominan. Mereka ingin mencari definisi diri dengan banyak cara supaya dapat menggunakan identiti baharu yang tidak lagi terikat dengan konteks arus perdana.

Oleh itu, sub-budaya difahami sebagai sesuatu yang berbeza dengan sebarang aspek politik, ekonomi, dan sosial yang konvensional. Apatah lagi apabila cara berpakaian, tingkah laku, gaya bahasa, pemikiran dan sebagainya menjadi simbol-simbol kepada identiti mereka.

Dengan itu, sub-budaya bukan sekadar imej tetapi ia juga adalah jalan bagi menghasilkan budaya baharu. O'Sullivan et al. (1994: 228) menyatakan "…the means by which cultural identity and social location are negotiated and expressed." Ia menggambarkan mengenai keterbukaan ruang untuk cara-cara hidup yang berlainan. Justeru, penggunaan makna, nilai, amalan, idea dan kepercayaan bagi sesuatu sub-budaya dalam mendefinisikan, soal berekspresi dan mencerminkan satu-satu perkara dapat menerangkan tentang perbezaan dalam sesebuah masyarakat. Lebih-lebih lagi apabila sub-budaya berkait dengan perasaan bangga dan sifat eksklusif. Thornton (1995) mengingatkan bahawa jika sifat eksklusif itu hilang, maka identiti dan ketulenan dalam sesuatu sub-budaya akan terganggu kerana ia sudah tidak unik. Hal ini bersesuaian dengan hujah Williams (2011) bahawa identiti dan ketulenan adalah penting kerana ia memberikan pandangan yang paling jelas tentang bagaimana sub-budaya dapat berperanan pada tahap sosio-psikologi.

Blackman (2005) pula melihat hubungan antara sub-budaya dengan penggunaan (consumption), dan potensi untuk merangsang kesedaran politik yang kritis. Hal ini kerana apabila sekumpulan orang memiliki kemusykilan yang sama, mereka akan berinteraksi untuk berkongsi pendapat dan bersama-sama cuba mendapatkan jawapan. Situasi ini menyebabkan sub-budaya mempunyai peranan yang amat penting (Cohen, 1955: 50). Ia juga tidak boleh dipisahkan daripada anak muda. Ia adalah ekspresi terhadap percanggahan yang terjadi dan perkara-perkara yang tidak dapat diselesaikan dalam budaya orang tua. Apalagi apabila anak muda melihat budaya dominan sebagai kaku, statik dan dipaksakan. Menurut Feuer (1969), konflik antara dua generasi memang wujud dalam setiap masyarakat, iaitu antara golongan anak muda yang mengkehendaki kebebasan dan orang-orang tua yang enggan untuk mengalah. Konflik ini bukan sesuatu yang baharu, ia menjadi lebih nyata dan ketara apabila anak muda sudah memiliki sumber daya dan kemampuan untuk bertindak sendiri. Mereka kemudiannya memperoleh ruang untuk mencetuskan idea baharu dan mempersoalkan segala bentuk autoriti seperti ibu bapa, institusi pendidikan dan ahli politik.

Namun begitu, ia tidak bermakna bahawa semua anak muda menentang hegemoni budaya tetapi mereka hanya mahu menampilkan diri dalam keadaan yang berbeza atau menunjukkan keberadaan mereka. Riesman (1950) menyebut terdapat dua jenis masyarakat; yakni kumpulan majoriti dan kumpulan minoriti. Kumpulan majoriti adalah golongan dewasa yang memandang enteng anak muda, sementara kumpulan minoriti adalah individu-individu yang menganjurkan pemberontakan sosial dan mempunyai jumlah populasi yang kurang berbanding kumpulan majoriti. Dalam Profane Culture, Willis (1978) berpendapat bahawa sub-budaya wujud kerana kumpulan minoriti ditindas dan mereka berusaha dengan pelbagai cara sebagai pertahanan diri. Perkara ini menunjukkan bahawa sesetengah orang tidak mahu menjadi mangsa kepada sesuatu yang dominan.

Kelas pekerja juga mempunyai hubungan rapat dengan sub-budaya kerana ia adalah tindak balas terhadap dominasi dalam sistem kapitalisme. Kajian Centre for Contemporary Cultural Studies (CCCS) menyatakan bahawa subbudaya adalah sebahagian daripada budaya kelas pekerja. Ia berkongsi nilai yang sama untuk menentang budaya dominan tetapi dengan amalan pelbagai cara dan pengalaman generasi yang berlainan. Lalu, sub-budaya adalah sebagai penyelesaian bersimbol kepada kekeliruan orang ramai, khususnya golongan anak muda yang bekerja, kerana tidak dapat berafiliasi dengan budaya dominan kelas menengah (Andes, 1998).

Justeru, sub-budaya dapat muncul dalam pelbagai bentuk. Salah satunya adalah melalui muzik. Menurut Hall dan Jefferson (1976) dalam Resistance through Rituals, muzik adalah ritual yang melibatkan pembangunan nilai-nilai bersama. Hal ini kerana ia membabitkan tindakan-tindakan yang mengartikulasikan budaya yang tersedia dan perubahan sosial. Drewett (2003) percaya bahawa muzik berperanan penting dalam membina identiti seseorang dan budaya yang baharu kerana ia memudahkan perkongsian fikiran dan perasaan, dan membentuk keperibadian yang sama. Malah, muzik mencerminkan identiti dengan lebih ketara. Oleh itu, sekiranya muzik menghasilkan sesuatu sub-budaya, maka ia tercetus daripada penghayatan dan penyertaan yang aktif dalam genre muzik itu. Lantas, muzik bukan sahaja way of life, bahkan way of being bagi sebahagian orang.

Menurut Hebdige (1979), sub-budaya yang berasaskan muzik, seperti punk, berjuang untuk identiti yang bertentangan dengan budaya arus perdana. Baginya, tafsiran sub-budaya dalam konteks kuasa seharusnya ditekankan kerana ideologi khusus adalah penting untuk mewakili kepentingan banyak kumpulan dan kelas tertentu, begitu juga dengan bagaimana kuasa diagihkan dalam masyarakat. Hebdige mendapati bahawa sub-budaya terletak dekat dengan konsep-konsep dalam sejarah budaya muzik popular, fesyen, hubungan kelas dan simbol-simbol penjajahan. Hal ini kerana wujud hubungan antara sub-budaya punk dengan konsep "ideological state apparatus" oleh Althusser dan hegemoni oleh Gramsci. Tambahan pula dengan sifat sub-budaya punk yang mempertahankan sisinya sebagai seakan-akan lumpenproletariat, yakni mereka yang memiliki status yang paling rendah dalam struktur masyarakat (Gelder, 2007: 12). Rosselson (1979) dan Cartledge (1999) juga memandang punk sebagai budaya baharu kerana menawarkan sesuatu yang berbeza dalam menentang sistem kapitalisme dan menyebarkan idea politik. Apatah lagi apabila ia menjadi titik perubahan bagi ramai anak muda (McRobbie, 1994). Pendek kata, punk menjadi tarikan dan sebagai alternatif kerana ia menterbalikkan sistem yang menjadi kebiasaan ramai individu.

Dalam pada itu, konsep keakuran (conformity) adalah apabila seseorang itu berperilaku dan bertindak mengikut apa yang diharapkan oleh masyarakat dengan menjalani norma dan nilai yang tertentu sehingga menjadi patuh dan setia. Tambahan pula apabila timbul desakan sehingga memaksa penyesuaian dan adaptasi diri seseorang (Baron dan Byrne, 1984). Ross, Bierbauer dan Hoffman (1976) telah menyatakan bahawa ia sama dengan Social Comparison Theory yang menganggap bahawa keakuran adalah tindakan yang benar dan mesti dilakukan. Terdapat individu yang bimbang dan takut jika disisihkan oleh masyarakat. Di samping itu, keakuran dilakukan untuk mengelak daripada konflik kerana perbezaan pendapat. Apatah lagi apabila individu yang melanggar peraturan dan tatanan masyarakat selalunya akan dikecam dan dikritik. Deutsch dan Gerard (1955) telah memberikan dua objektif keakuran; (1) memperoleh maklumat dan membuat penilaian yang tepat berhubung dengan sesuatu isu, dan (2) ingin mendapatkan penerimaan sosial daripada orang lain atau keharmonian dalam sesuatu hubungan. Objektif kedua itu adalah yang terpenting dalam memahami konsep keakuran. Hal ini kerana keakuran boleh menjadi desakan atau kuasa yang kuat terhadap tingkah laku manusia. Latané (1981) dalam teori kesan sosial (social impact theory) menjelaskan bahawa keakuran seseorang adalah bergantung kepada kekuatan, desakan dan jumlah orang dalam sesuatu kumpulan itu.

Walau bagaimanapun, keakuran bukan sesuatu kemestian. Konsep keakuran memiliki timbal baliknya dan bertentangan dengan konsep perilaku menyimpang (non-conformity), yakni percanggahan dengan norma dan nilai yang sedia ada. Sutherland dan Cressey (1974) menyebut bahawa penyimpangan berpunca daripada pergaulan manusia yang berlainan kerana proses penyaluran budaya dalam kumpulan sosial dan masyarakat. Seseorang melakukan perilaku menyimpang kerana menganggap bahawa tindakan itu lebih memberikan kebaikan berbanding keakuran. Perkara ini menunjukkan bahawa penyimpangan yang dilakukan bukan semata-mata kerana tidak ingin mematuhi nilai dan norma masyarakat, atau kerana gagal menyesuaikan diri dengan keperluan itu, tetapi juga kerana mahu melihat dirinya berbeza dan unik berbanding orang lain. Ia mempunyai kesan dalam membezakan seseorang individu dengan orang lain, serta boleh memenuhi keinginan untuk menghasilkan keunikan dan keindividuan.

Hebdige (1979) mengulas bahawa komuniti punk adalah salah satu contoh penyimpangan yang ketara. Ia disebut sebagai penyimpangan kerana golongan punk menggunakan simbol-simbol yang tidak lazim dalam persetujuan masyarakat. Contohnya, rambut Mohawk, reka bentuk kemeja-T yang provokatif, dan baju yang mempunyai spike besi. Di samping itu, perilaku menyimpang atau ketidakakuran juga boleh dihubungkan dalam sudut politik, yakni melalui budaya penentangan. Budaya penentangan adalah sifat kritis kepada persoalan politik, ekonomi dan sosial, serta turut melakukan penentangan terhadap sesuatu yang memiliki nilai-nilai norma dan formal. Dalam maksud ini, seseorang menentang kerana enggan mengikuti budaya yang dominan dan mahu mendapatkan alternatif yang baharu. Oleh itu, mereka cenderung untuk menolak nilai-nilai masyarakat yang tunduk kepada sesuatu institusi.

Ramai pengkaji pada awal tahun 1970-an berpendapat bahawa budaya penentangan mencetuskan banyak kumpulan sosial baharu dan isyarat kelahiran masyarakat pasca-industri. Reich (1972) menggambarkan mengenai industrialisme yang dibina atas nilai-nilai individualistik dan birokrasi tetapi wujud sebahagian masyarakat yang masih menghargai komuniti dan pernyataan kendiri manusia. Dekad tahun 1960-an adalah jangka masa yang sukar kerana tekanan isu-isu kemiskinan, peluang pendidikan yang adil, hak minoriti kulit hitam, peperangan dan sebagainya. Perkara ini menyebabkan muncul lapisan masyarakat yang mencetuskan berbagai-bagai cara untuk menentang. Mereka menentang kerana tidak mahu terikat dengan perlumbaan mengejar kekayaan sedangkan penderitaan masih sahaja berlaku. Hal ini dapat dilihat apabila Musgrove (1974: 3) menyatakan bahawa "…ten years ago the young were fighting to get in: today they are often fighting to get out. The privileged rather than the deprived are at the centre of the new youth problem." Hall dan Jefferson (1976) menerangkan bahawa protes daripada sub-budaya cuma menghasilkan kesedaran kelas, berbentuk simbolik, vandalisme dan hooliganisme. Namun, budaya penentangan lebih berideologi dan mempunyai nilai politik yang tinggi kerana menentang sesuatu yang dominan. Malah, ia tidak dapat dipisahkan daripada elemen anti-establishment sebagai penentangan terhadap golongan berkuasa dan penindas.

Justeru, budaya penentangan berperanan aktif dalam menentang sesuatu kekuasaan seperti budaya arus perdana, sementara sub-budaya adalah budaya yang berlainan dengan budaya arus perdana dan tidak semestinya melawan. Tambahan pula apabila sub-budaya boleh bergabung dengan budaya arus perdana tetapi tidak bagi budaya penentangan. Budaya penentangan bertujuan untuk mencabar kesahan struktur dan hierarki dalam mana-mana sistem. Ia juga muncul kerana terdapat desakan untuk mengubah nilai-nilai yang dominan dengan membangkitkan perspektif yang baharu (Musgrove, 1974). Budaya penentangan juga boleh dianggap sebagai sesuatu yang sama dengan budaya pembangkangan politik kerana ciri-ciri penentangan yang ada dalam kedua-duanya. Maka, konteks ini mengukuhkan lagi hubungan antara budaya penentangan dan ketidakakuran. Hal ini dimungkinkan kerana budaya penentangan mampu meningkatkan kesedaran politik masyarakat dan mengubahnya dengan signifikan (Wuthnow, 1976: 60). Douglas (1970) membincangkan tentang bagaimana budaya penentangan mempunyai kejelasan politik apabila ia memiliki latar belakang yang ketara dalam beberapa aspek politik, ekonomi dan sosial. Lebihlebih lagi apabila ia mengandungi kepelbagaian dimensi, termasuk penentangan terhadap dunia sehari-hari dan mengangkat keterbukaan, anti-materialisme dan sebagainya.

Bagi Yinger (1977), terdapat beberapa bentuk budaya penentangan yang dapat dibezakan melalui pemisahan dengan budaya dominan. Antaranya telah tampil dengan unsur-unsur estetik supaya boleh diterima oleh lebih ramai orang. Yinger (1977: 850) kemudiannya menyebut "…every society gets the countercultures it deserves, for they do not simply contradict, they also express the situation from which they emerge. Countercultures borrow from the dominant culture even as they oppose it." Kenyataan itu menerangkan bahawa budaya penentangan adalah sesuatu kelaziman dalam masyarakat kerana didorong oleh keinginan untuk memperbaiki kualiti hidup, pengalaman peribadi dan hubungan antara manusia. Maka, melalui budaya penentangan, ia juga boleh menjelaskan tentang pertentangan terhadap nilai-nilai kapitalisme iaitu kesaksamaan berbanding ketidaksamaan, penyertaan berbanding dominasi, kerjasama berbanding persaingan dan lain-lain lagi.

Namun apakah sub-budaya punk di Malaysia (dalam konteks ini Rumah Api) mampu mencetuskan gerakan sosial ataupun bertindak mencetuskan perubahan melalui budaya penentangan? Sub-budaya mungkin sering dilihat tidak mampu untuk mencetuskan perubahan yang begitu besar atau meluas dalam masyarakat. Ia biasanya dipandang hanya sebagai simbol, peringatan, pesan dan lain-lain lagi kepada keluarga, masyarakat, autoriti atau pihak-pihak yang disasarkan oleh sub-budaya berkenaan. Watak sub-budaya ini sudah tentu berlainan dengan budaya penentangan yang mempunyai usaha untuk membawa sesuatu perubahan atau pengaruh yang luas dalam masyarakat. Contohnya seperti budaya hippies yang diumpamakan sebagai pergerakan sosial dan telah melahirkan perubahan yang ketara pada sekitar tahun 1960 sehingga 1970-an kerana dapat mempengaruhi orang-orang di sekeliling mereka. Keadaan ini berbeza dengan budaya punk yang dibahaskan sebagai sesuatu yang seakan-akan terpinggir dan tidak memiliki kekuatan untuk memberikan kesan dalam masyarakat. Walau bagaimanapun, punk sebagai suatu budaya yang muncul sejak tahun 1970-an dan masih bertahan dengan baik sehingga hari ini dapat menandakan betapa berpengaruh dan kuatnya budaya ini. Ia mempunyai ramai pengikut di seluruh pelosok dunia yang memiliki kesedaran politik yang tertentu, khususnya sikap mereka terhadap pemerintah. Pengikut-pengikut yang sedar ini kemudian membentuk dan menubuhkan komuniti punk masing-masing untuk melakukan penentangan dengan cara yang tersendiri. Mereka telah melakukan berbagai-bagai kegiatan dan kebanyakannya mempunyai tujuan yang sama. Ia telah pun merentas batas negara dan selalu mendapat perhatian daripada aparat negara berkenaan. Keadaan ini bagaimanapun jarang dilihat dalam budaya lain. Meskipun budaya punk bukanlah satu pergerakan sosial dalam skala yang sangat besar, namun kemampuan budaya ini untuk melahirkan pengikut dan komuniti baru di banyak tempat menunjukkan bahawa budaya ini juga beroperasi untuk menjadi budaya penentangan. Oleh yang demikian, Rumah Api juga seharusnya diangkat sebagai contoh budaya penentangan melalui cara punk mereka. Secara individu, ia bermula hanya daripada sub-budaya punk, tetapi telah berkembang menjadi komuniti punk dan kemudiannya menjadi sesuatu yang seolah-olah ditakuti oleh pemerintah di Malaysia.

BUDAYA PUNK RUMAH API SEBAGAI SUB-BUDAYA

Rumah Api telah diasaskan pada Disember 2010. Pada awalnya, rumah yang didiami oleh Rumah Api adalah tempat untuk mengadakan gig muzik punk sahaja. Dari tahun 2007, ia dikenali sebagai Gudang Noisy. Namun Gudang Noisy tidak dapat diteruskan kerana masalah kewangan. Keadaan ini memberikan peluang untuk mewujudkan ruang yang boleh menghidupkan kembali komuniti punk di Malaysia. Lebih-lebih lagi apabila penggeraknya, Arip dan teman-teman telah ke Singapura dan menemui Blackhole 212, ruang komuniti berautonomi yang menumpukan pada seni, muzik dan gaya hidup alternatif. Ruang organisasi bukan untung itu digerakkan oleh para pengikut punk yang berpegang dengan prinsip "do-it-yourself" (DIY). Ia adalah yang pertama didirikan di Singapura. Hal ini membawa kepada idea untuk mewujudkan kolektif di negara ini yang bersifat politik dan anarkisme. Tambahan pula, perjumpaan anarkis yang dihadiri pada tahun 2010 di Medan, Indonesia mendorong untuk mewujudkan infoshop di Malaysia yang boleh menjadi medium untuk menyebarkan idea-idea anarkisme.

Rumah kedai di bandar Ampang itu mempunyai dua tingkat, Pustaka Semesta Infoshop dan Tandang Store di tingkat atas, sementara tingkat bawah digunakan untuk gig, perbincangan, tayangan filem dan lain-lain lagi. Pustaka Semesta Infoshop adalah kedai dan perpustakaan yang menyediakan banyak bahan bacaan seperti politik dan anarkisme. Sumber-sumber ini adalah dalam berbagai-bagai bahasa seperti Bahasa Malaysia, Inggeris, Indonesia, Cina, Jerman dan Perancis. Selain itu, Pustaka Semesta Infoshop menerbitkan Bidas, sebuah zine anarkisme dalam talian. Tandang Store pula menawarkan bahan DIY dari serata dunia seperti piring hitam, kaset, cakera padat, kemeja-T dan sebagainya. Di tingkat atas ini juga terdapat dapur yang selalu digunakan untuk aktiviti Food Not Bombs, iaitu aktiviti yang memberikan makanan percuma kepada masyarakat, terutama gelandangan dan golongan miskin di bandar. Pada dinding bangunan Rumah Api pula terdapat pelbagai lukisan grafiti dan seni stensil. Salah satu yang menarik perhatian adalah dinding yang bertuliskan "No Racism, No Sexism, No Homophobia, No Drugs, No Alcohol, No Violence". Tulisan itu bukan hanya sebuah karya seni kosong, tetapi menjadi pegangan hidup mereka iaitu penolakan terhadap semua gejala negatif tersebut.

Di samping itu, nama Rumah Api telah disarankan secara spontan dalam perbincangan penubuhannya. Menurut Arip3 , penggunaan Bahasa Malaysia untuk nama dipilih kerana tidak ingin kelihatan eurosentric. "Rumah" sesuai dijadikan nama kerana ia menjadi tempat tumpangan oleh ramai pengembara punk dari seluruh pelosok dunia seperti Jerman, Indonesia, Austria dan sebagainya. "Api"

pula melambangkan semangat yang tinggi seperti satu kenyataan yang ditulis pada dinding Rumah Api iaitu:

Rumah Api is a small group of people with the common goal of contributing to build a stronger and more politically active punk rock movement. We are a small group of individuals that have joined together our ideas and abilities to work on numerous projects as part of single entity in an overall struggle against tyranny and oppression. Everyone likes to pigeonhole and this is how we prefer to look at ourselves: our politics are antiestablishment, our outlooks punk rock…

Komuniti punk yang menggerakkan Rumah Api boleh dikatakan berperanan penting sebagai agen sosiopolitik kerana ia dapat dikaitkan dengan produk intelektual dan budaya. Kepelbagaian aktiviti mereka itu dapat menyarankan mengenai sub-budaya, budaya penentangan dan hubungan dengan masyarakat. Persamaan utama yang jelas antara mereka adalah minat kepada muzik punk. Namun, ia tidak bermakna bahawa Rumah Api terkongkong dalam muzik. Malahan, rata-rata percaya bahawa punk harus melebihi muzik. Pengorganisasian Rumah Api juga berlainan berbanding dengan badan, pertubuhan dan kumpulan yang biasa dilihat dalam masyarakat. Mereka tidak bersetuju manusia mesti mematuhi struktur, kekuasaan dan hierarki. Gagasan ini adalah manifestasi daripada prinsip anarkisme. Di Rumah Api, ramai individu adalah penggerak, tetapi tiada yang menjadi ketua. Mereka tidak mengetuai dan diketuai. Marsh dalam Marcus (1989: 63) menyatakan "…punk was an attempt to eliminate the hierarchy that ran rock – ultimately, to eliminate hierarchy, period." Sesuatu keputusan juga dicapai jika ia disepakati oleh semua penggerak. Secara tidak langsung, pengorganisasian Rumah Api mengesyorkan kritikan terhadap autoriti dan pemerintahan di Malaysia yang menekankan kekuasaan dan hierarki. Dalam konteks ini, Rumah Api membantah sebarang institusi dengan membawa idea-idea kesamaan dan anti-autoriti. Mereka mengajukan alternatif kehidupan tentang pemberdayaan diri dan masyarakat yang bebas. Hal ini dapat dilihat melalui muzik, fesyen, gaya hidup dan sebagainya.

Di Rumah Api, gig dapat menyarankan bahawa muzik adalah medium utama ekspresi mereka. Ia bertumpu kepada kandungan lirik yang bersifat politik, bunyi muzik yang bingit dan suasana yang tersendiri. Terdapat produk sosial di Rumah Api yang secara langsung menimbulkan persamaan fahaman politik antara pemain muzik dan peminat muzik. Hal ini disokong dalam kajian oleh Hansen dan Hansen (1991) tentang hubungan antara pilihan muzik, pertimbangan sosial dan ciri-ciri peribadi. Peminat-peminat muzik heavy metal lebih mengamalkan faham Machiavelli. Sementara itu, para peminat muzik punk dilihat kurang menerima autoriti dan kekuasaan. Di Rumah Api, nama-nama kumpulan muzik yang pernah melakukan persembahan di situ dapat menunjukkan perasaan pesimis mereka mengenai politik. Contohnya, The Barisan Nasio))) Nihilist, Derita Terus, Berantakan dan Kebulur. Oleh itu, muzik punk dipilih kerana ia memberikan pemberdayaan untuk melahirkan ekspresi politik berbanding lain yang mungkin cuma pasif berkomunikasi tentang perbezaan pendapat (Dunn, 2008).

Bagi Kratz dan Reimer (1998), fesyen dirujuk sebagai fenomena budaya kerana ia berkait dengan makna, simbol dan komunikasi secara visual. Fesyen membenarkan manusia untuk menyatakan identiti, kumpulan sosial yang diikuti dan dengan siapa mereka tidak mahu dikaitkan. Maka, cara berpakaian dan penampilan di Rumah Api mungkin kerana keperluan untuk menyatu dan keperluan untuk mengasingkan. Sama seperti cara berpakaian komuniti punk di mana-mana sekalipun, kebanyakan mereka mengenakan pakaian serba hitam, yang telah dikoyak, seluar ketat, tali pinggang berpaku atau studded, rambut pelbagai warna dan gaya, dan lain-lain lagi. Aksesori tambahan seperti antinganting, lencana, patch, pin, rantai besi dan gelang tangan spike juga popular dalam kalangan mereka. Mereka juga banyak menggunakan but Doc Martens. Fesyen yang tidak lazim ini adalah kerana ingin melanggar segala norma dan perkara konvensional yang dipaksa oleh masyarakat. Justeru, sebagai perantara bukan lisan, fesyen punk adalah representasi penting untuk mewakili perasaan dan mesej mereka. Melalui pakaian, mereka seperti sengaja ingin mengejutkan masyarakat di luar kelompok mereka. Malah, di Rumah Api, ia ditekankan sebagai simbol penguasaan terhadap tubuh badan sendiri. Tatu dan baju yang dipakai juga rata-rata mempunyai foto atau tipografi yang menggambarkan slogan politik yang dibayangi oleh perasaan marah atau kecewa.

Disebabkan oleh cara berpakaian mereka yang demikian, masyarakat cenderung menilai negatif mereka. Apatah lagi apabila pengikut-pengikut punk selalu digambarkan oleh media arus perdana di Malaysia sebagai kutu rayau, gelandangan, pemakan sampah, bahkan penjenayah (Sharifah Nursyahidah, Muhammad Febriansyah dan Muhamad Takiyuddin, 2015). Sedangkan umum mengetahui bahawa dalam kalangan komuniti punk itu sendiri wujud pengikut yang disebut poseur, merujuk kepada mereka yang meminati punk hanya kepada muzik dan fesyennya sahaja supaya kelihatan berbeza di mata masyarakat. Golongan inilah yang lazimnya tidak pandai menjaga tingkah laku dan tidak peduli dengan kesan negatif yang dikenakan oleh masyarakat kepada mereka.

Realitinya, punk sebagai gaya hidup banyak memiliki sisi positif. Golongan punk yang aktif bergiat di Rumah Api sangat menjaga diri mereka supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti jenayah. Tiada sebarang kekecohan pernah berlaku di Rumah Api yang menyebabkan mereka dapat disabitkan atas kesalahan jenayah. Jika mereka mesti berurusan dengan pihak polis, biasanya ia adalah berkenaan dengan aktiviti politik mereka yang dianggap mengganggu kekuasaan atau masalah keizinan acara pertunjukan muzik gig. Dalam serbuan polis ke sebuah gig di Rumah Api pada 28 Ogos 2015, iaitu malam menjelang diadakan himpunan Bersih 4.0, 163 orang telah ditahan atas tuduhan menimbulkan ancaman keselamatan. Mereka telah direman dan disiasat menggunakan Akta Hasutan (Izzudin, 2015). Namun, tidak ada seorang pun yang terbukti melakukan penyalahgunaan dadah apabila ujian air kencing dilakukan ke atas mereka semua (The Malaysian Insider, 1 September 2015).

Aliran muzik bawah tanah, terutama punk dan skinhead memang sering dikaitkan dengan Rumah Api. Meskipun ia seakan-akan menyarankan terdapat dunia yang bersifat elitisme dan eksklusif bagi sebahagian sahaja, namun mereka mungkin mahu menekankan garis yang dapat menentukan lingkungan tertentu. Tambahan pula apabila aliran muzik bawah tanah tidak selari dengan media arus perdana. Duncombe (1997: 153) menyebut, "…the rejection of mainstream media and culture that is such an integral part of zines and underground culture leads naturally toward a separation between us and them." Rumah Api menghasilkan risalah, fanzine, poster dan portal yang mempunyai edaran yang begitu terhad berbanding media arus perdana. Ia juga seakan-akan menggambarkan keperluan untuk memisahkan Rumah Api dan masyarakat dengan menolak media arus perdana yang cuma mahu memperoleh keuntungan. Begitu juga dengan kewujudan pengampang maklumat di Malaysia yang menyaring pengeluaran berita dan sebagai alat kepada pemerintah untuk menguasai penyebaran maklumat kepada masyarakat (Zaharom, 2002).

Dalam pada itu, tuduhan dan lemparan negatif kepada golongan muda hanya membuatkan mereka makin memberontak dan mahu memiliki kehidupan sendiri. Namun, hal ini tidak bererti bahawa semua anak muda di Rumah Api mempunyai tahap pemberontakan yang sama sebagaimana dalam budaya punk. Hal ini kerana ia wujud daripada pelbagai faktor iaitu mewakili aspek yang besar dalam kehidupan seseorang; untuk meneroka dan bereksperimen dengan identitinya, atau untuk memberikan model kepada generasi yang lebih tua supaya dapat memahami anak muda (Epstein, 1998). Malah, jiwa anak muda sentiasa diangkat di Rumah Api meskipun ada antara mereka yang sudah mencecah usia melebihi 40 tahun dan sudah berkeluarga. Walaupun mereka telah melalui fasa baru dalam proses kehidupan seperti berkahwin, tetapi identiti dan sub-budaya punk masih lagi kuat diamalkan. Joe Kidd contohnya sudah berusia awal 40- tahun dan telah lama berkecimpung dalam punk namun sehingga saat ini menjadi sosok penting dalam aliran punk di Malaysia. Beliau juga banyak beraktiviti di Rumah Api dan merupakan penerima zamalah Asian Public Intellectuals (API) dari Nippon Foundation. Man pula berusia pertengahan 30-an, sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Namun beliau kekal menjadi penggerak utama aktiviti di Rumah Api. Dua contoh yang diberikan ini menyarankan kepercayaan "Punk Not Dead" sedikit sebanyak menyebabkan mereka berusaha paling tidak untuk mengekalkan sikap punk dan bertahan sejauh yang boleh dalam subbudaya ini. Maka, ketahanan sub-budaya punk ini tidak boleh dijangkakan dan terpulang kepada pengetahuan atau pengalaman setiap individu itu. Walau bagaimanapun, diakui terdapat juga mereka yang lebih memberikan perhatian terhadap komitmen di luar sama ada terhadap keluarga atau bekerja.

Di samping itu, berdasarkan latar belakang para responden di Rumah Api, wujud perbezaan meskipun mereka berkongsi persamaan amalan dan norma. Antara mereka ada yang memiliki sudut pandangan dan orientasi politik yang berlainan seperti anarkis, anarko sindikalis, feminis atau konservatif. Namun, mereka tetap sepakat dalam ekspresi diri, pilihan, kebebasan, ketidakakuran dan penentangan.

Bahkan, walaupun komuniti itu mungkin tidak dapat menentang dengan lantang, sebaliknya ia menjadi semangat kepada yang lain untuk menjadi diri sendiri. Hal ini dapat dilihat apabila Rumah Api seakan-akan memiliki kumpulan pengikutnya yang selalu menghadiri acara-acara di Rumah Api. Malah, ia juga sering dikunjungi oleh ramai pekerja migran Indonesia. Situasi ini menggambarkan Rumah Api memiliki daya tarikan tersendiri. Menurut Adler dan Adler (2002), walaupun ramai anak muda masih mengambil bahagian dalam budaya dominan, tetapi terdapat ciri-ciri khusus yang membezakan sub-budaya dan budaya dominan. Perbezaan paling jelas adalah dalam nilai. Justeru, meskipun setiap anak muda di Rumah Api menghargai banyak hal yang sama dengan masyarakat, tetapi mereka mengekspresikan nilai-nilai tertentu dengan cara berbeza. Nilai adalah ketetapan sosial untuk mengukur antara yang betul dan salah (Cheu, 1984). Sebilangan responden di Rumah Api mengakui bahawa anggota masyarakat memandang jelek kepada mereka kerana penampilan berbeza. Mereka dihakimi tanpa difahami penglibatan dan sumbangan yang telah diberikan untuk masyarakat. Hal ini dijangkakan kerana untuk memastikan keakuran. Lebih-lebih lagi dengan percanggahan dalam masyarakat mengenai nilai tradisi atau nilai ekspresi. Bagi Smith (1986), nilai tradisi adalah corak kepercayaan, adat istiadat, nilai-nilai, perilaku, pengetahuan atau kemahiran yang diwariskan dari generasi kepada generasi melalui proses sosialisasi dalam populasi tertentu.

Lutpi (1993) menyebut bahawa Malaysia mengalami konflik kelunturan nilai tradisi dan moral apabila banyak budaya baharu muncul dan semakin berkembang. Pernyataan ini seakan-akan menggambarkan kegelisahan masyarakat mengenai perlanggaran nilai. Justeru, sebahagian anggota masyarakat di Malaysia masih bersandarkan kepada nilai tradisi. Namun, Rumah Api pula lebih kepada nilai ekspresi. Hal ini mendorong kepada munculnya perselisihan. Kajian Inglehart dan Oyserman (2004) menerangkan bahawa masyarakat yang dekat dengan kutub tradisional menekankan kepentingan hubungan ibu bapa dan anak, hormat kepada pihak berkuasa, patuh norma-norma lazim, dan nilai-nilai keluarga tradisional. Mereka cenderung berpandangan nasionalistik. Sementara itu, kumpulan yang dekat dengan nilai ekspresi dapat menerima kepelbagaian termasuk kesamaan gender dan homoseksual, lebih sensitif kepada hak asasi manusia, diskriminasi dan sebagainya. Lantas, Rumah Api dilihat lebih bebas dan demokratik berbanding masyarakat yang menekankan nilai tradisi. Nilai ekspresi dalam komuniti punk itu juga mungkin yang menggalakkan elemen perjuangan dan pemberontakan. Lebih-lebih lagi dengan budaya ketimuran di Malaysia sebagai budaya dominan, dan kepercayaan yang mendasari nilai-nilai tertentu untuk melindungi pelbagai institusi. Malah, ia boleh dikaitkan dengan agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia.

Menurut Farish (1999), pengaruh agama Islam dalam kerangka nilai masyarakat Malaysia, khususnya Melayu, adalah besar berbanding dengan negara-negara Asia lain. Bahkan, ia cenderung menolak nilai-nilai Barat yang dianggap bercanggah dengan nilai-nilai Timur. Dalam hal ini, pegangan Rumah Api dilihat bertentangan dengan budaya dominan dan boleh menggugat moraliti dalam nilai tradisi. Apalagi apabila rata-rata mereka adalah daripada kaum Melayu. Namun mereka tidak pernah menyentuh persoalan agama kerana ia dianggap ruang peribadi dan mereka percaya kepada kebebasan memilih untuk beragama atau tidak beragama. Namun, hal ini tidak bererti bahawa mereka mengasingkan diri sepenuhnya daripada amalan-amalan masyarakat Melayu atau individu-individu di luar komuniti punk mereka. Terdapat perkara-perkara tertentu yang boleh ditoleransi, khasnya ritual balik kampung dan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Akan tetapi, ia adalah sekadar untuk menghormati, meraikan dan bergembira bersama keluarga atau rakan. Meskipun cara mereka dan cara keluarga mereka adalah berbeza, ia bagaimanapun tidak menjadi justifikasi kepada mereka untuk memutuskan tali persaudaraan. Selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip, selagi itulah ada ruang-ruang yang boleh ditolak-ansur. Perkara yang lebih mustahak ialah tidak ada unsur pemaksaan. Justeru, adalah menarik untuk dilihat mengapa budaya punk diterima oleh ramai orang Melayu sedangkan kaum itu mungkin agak kuat dengan adat ketimuran dan agama. Di Rumah Api, mereka juga cenderung untuk tidak akur. Amoroso (1996) menyatakan bahawa kelas pemerintah melancarkan "pertempuran ideologi" melalui unsur tradisional dalam budaya Melayu seperti kesetiaan, pengkhianatan, penghormatan dan kedaulatan supaya dapat menentukan bentuk negara pascakolonial. Lantaran itu, keakuran atau kesetiaan dapat dihubungkan dalam konteks institusi dan masyarakat di negara ini.

MELAWAN AUTORITI DAN SISTEM KAPITALISME

Kebanyakan aktiviti di Rumah Api menggambarkan mengenai penentangan dan ketidakpuasan hati kepada institusi kerajaan. Tambahan pula apabila sebahagian komuniti itu cenderung pada anarkisme. Berdasarkan kepada prinsip itu, Rumah Api tidak memiliki hierarki. Hal ini seakan-akan mencadangkan kaitan dengan hubungan penaung-dinaung (patron-client). Apatah lagi apabila komuniti punk itu menekankan DIY. Mereka memastikan bahawa tidak ada kebergantungan kepada mana-mana pihak. Mereka berusaha secara kolektif untuk mencari alternatif lain dan bagi memastikan bahawa kos perbelanjaan seperti sewa premis, utiliti dan pengangkutan dapat ditanggung bersama. Antaranya adalah dengan mengadakan gig dan hasil jualan tiket akan disalurkan kembali untuk menggerakkan Rumah Api. Hal ini bagi mengelakkan dominasi, pengaruh dan kawalan yang boleh mengikat mereka untuk mematuhi penguasa. Malah, ia berkait dengan prinsip anarkisme yang dimanifestasikan di Rumah Api. Mereka yakin bahawa penguasa merebut kuasa untuk kepentingan mereka sendiri walaupun dengan mengorbankan masyarakat. Penyalahgunaan kuasa ini yang dibenci oleh ramai golongan anarkis (Sheehan, 2007: 22).

Pengamatan di Rumah Api turut menunjukkan bahawa rata-rata mereka daripada latar belakang kelas pekerja dan masyarakat biasa. Majoriti mereka sama ada bekerja sendiri, secara freelance, atau di sektor swasta. Tahap pendidikan tertinggi dalam kalangan mereka pula adalah peringkat universiti. Meskipun mereka masih terkongkong dalam sistem kapitalisme, tetapi mereka berusaha sebaiknya untuk memastikan mereka tidak menyokongnya dan menghebahkan tentang kepincangan autoriti dan kapitalisme. Salah satu perkara yang dilakukan oleh mereka adalah dengan mempraktikkan DIY, mengurangkan pembelian atau penggunaan (consumption), sama ada secara individu atau bersama.

Kebanyakan mereka juga tidak selesa dengan situasi politik semasa yang hiruk-pikuk dengan konflik dan mahu mencari situasi baharu yang lebih harmonis. Di Rumah Api, mereka berkawan dan bergaul dengan orang-orang yang memiliki pengalaman hidup yang hampir sama dan tidak selesa dengan aturan-aturan yang mengongkong. Oleh itu, mereka bergaul secara bebas di situ. Namun, pergaulan bebas bukan bermakna hubungan seks bebas dan penyalahgunaan dadah yang ditolak oleh mereka dengan tegas, tetapi mereka boleh bercampur antara satu sama yang lain tanpa sikap prejudis. Hal ini bersesuaian dengan kajian Sutherland dan Cressey (1974) dan Willis (1963). Keakuran tidak harus dilihat sebagai kekal dalam manusia. Ia amat bergantung kepada pertimbangan dan tindakan seseorang yang sentiasa mempunyai dorongan untuk bebas. Lantas, komuniti ini mungkin menjadi punk bukan untuk melarikan diri daripada masyarakat tetapi untuk menyatakan ekspresi mereka.

Secara langsung, pengasasan Federasi ANTARA4 mencadangkan hubungan erat Rumah Api dengan prinsip anarkisme. Namun, tidak semua di Rumah Api yang berpegang dengannya. Tetapi ini tidak menghalang mereka untuk menyatukan rakan-rakan di seluruh Malaysia bagi bergabung dalam federasi yang cenderung pada gerakan bawah tanah. Meskipun federasi itu masih dalam peringkat perbincangan, namun ia menyarankan hala tuju dan matlamat politik yang jelas. Lebih-lebih lagi apabila terdapat aksi politik yang mungkin lebih dekat dengan masyarakat. Hal ini juga mencadangkan bahawa budaya penentangan mereka tidak cuma simbolik, tetapi juga menuju akar umbi masyarakat. Perkara ini yang harus wujud dalam budaya penentangan (Wuthnow, 1976). Namun semasa acara "Lepak Anarki" di Rumah Api yang diadakan pada 26 Oktober 2013 – perjumpaan anarko-punk, skinheads, hardcore, hip-hop dan sebagainya dari seluruh Malaysia – tidak ramai yang menyertai dan memberikan pendapat dalam perbincangan itu. Begitu juga dengan perbincangan dalam talian untuk Federasi ANTARA apabila didapati hanya individu sama sahaja yang memberikan pandangan. Hal ini memberikan persoalan jika seluruh komuniti punk di Rumah Api itu bergerak secara kolektif.

Rumah Api juga dalam beberapa perkara seakan-akan menjauhi ruang awam. Ketika sekelompok aktivis anak muda Occupy Dataran mengadakan aktiviti mereka setiap Sabtu malam di Dataran Merdeka (Julai 2011–Mei 2012), kehadiran anggota Rumah Api kurang kelihatan. Walhal aktiviti yang dilakukan oleh Occupy Dataran ini dilandasi oleh kesamaan ideologi dan praktik yang selama ini cuba diterapkan oleh mereka, iaitu demokrasi langsung (direct democracy) yang bersifat horizontal dan tanpa kepimpinan. Ciri utama demokrasi langsung ini adalah tiada pemimpin dan dominasi kelompok tertentu dalam perbincangan dan proses pengambilan keputusan. Idea dan kaedah ini telah dicadangkan oleh sekumpulan anarkis yang kemudian diterima pakai di dalam gerakan Occupy Wall Street pada 2011 (Graeber, 2013). Idea dan kaedah ini juga yang dipraktikkan di Rumah Api. Namun, keengganan mereka memanfaatkan ruang awam seperti ini menjadikan mereka dilihat sangat eksklusif, bukan hanya dengan masyarakat umum, tetapi juga sesama rakan aktivis. Apatah lagi kerana pencetus gerakan Occupy Dataran itu, seorang seniman grafik dan aktivis bebas, Fahmi Reza, juga mengakui banyak terpengaruh dengan punk dan tidak asing dengan aktiviti gig di Rumah Api.

Geertz (1964) menyebut bahawa persekitaran budaya adalah penting untuk meneliti mengenai sesuatu ideologi. Hal ini kerana ideologi tertentu dapat dilihat melalui simbol dan ritual. Maka, ia mencadangkan hubungan antara muzik dan Rumah Api dapat dikaitkan dengan tindakan politik. Hal ini kerana mereka tidak mengadakan gig untuk berseronok semata-mata, tetapi untuk mengumpul dana bagi menyokong tujuan politik yang tertentu dan usaha untuk menonjolkan isu semasa di dalam dan luar negara. Melalui muzik, Rumah Api jelas mengangkat suara kelas pekerja, alam sekitar, kesetaraan dan kedamaian. Justeru, hal ini dapat menggambarkan bahawa muzik menjadi elemen dalam budaya penentangan Rumah Api untuk mencapai sesuatu perubahan politik.

Menurut Mohd. Rizal Hamdan (2012), muzik dan lagu boleh menjadi alat penyebaran idea politik dan sebagai senjata dalam aliran muzik bawah tanah. Ia juga dapat memberikan petunjuk mengenai orientasi sosio-politik. Rumah Api telah mengadakan gig untuk menolak reaktor nuklear (isu Lynas), mempromosi kebebasan manusia, perjuangan hak wanita, membantu mangsa banjir, bantahan pembinaan empangan dan sebagainya. Perkara itu menunjukkan mereka peka kepada keadaan sekeliling. Apatah lagi apabila kebanyakan kumpulan muzik punk yang terlibat membawakan lagu-lagu yang mengandungi mesej politik. Contohnya, tentang pilihan raya, pendidikan dan keadilan ekonomi. Mereka juga harus bebas daripada perkauman, diskriminasi dan homofobia. Hal ini dapat dilihat apabila Rumah Api menjadi tempat gig Sons of Skinheads KL Meeting yang disertai oleh lebih 200 orang dari Malaysia, Jepun, Indonesia dan sebagainya pada 17 Januari 2015. Dalam acara ini, anti-rasisme dan anti-dadah sangat ditekankan. Penganjuran gig ini dengan jelas menyangkal stereotaip masyarakat yang memandang negatif sub-budaya itu sehingga mereka terpaksa bergerak di bawah tanah untuk mengelak daripada gangguan polis. Apatah lagi apabila mereka digambarkan sebagai tidak beragama, "samseng" dan juga penjenayah (Zachariah, 2015).

Namun begitu, terdapat pendapat bahawa ia mungkin tidak dapat dilihat dengan ketara sebagai suatu penentangan. Bagi Hollander dan Einwohner (2004), covert resistance atau penentangan terselindung adalah penentangan yang disengajakan dan boleh dilihat, tetapi tidak diamati oleh sasaran sebagai penentangan. Dalam Byerly (1998: 27), The Republic, tulisan Plato, menyebut "…any musical innovation is full of danger to the whole State, and ought to be prohibited; when modes of music change, the fundamental laws of the State always change with them." Maka, walaupun lagu-lagu yang dimainkan di Rumah Api tidak semestinya bersifat politik, namun kegunaannya adalah untuk mengajukan isu-isu politik. Bahkan, sikap anti-establishment di Rumah Api juga menyebabkan konfrontasi antara mereka dan autoriti. Tambahan pula apabila keberadaan Rumah Api seolah-olah adalah sebagai suatu kritikan sosial, penentangan sosial dan perubahan sosial. Dengan ini, wujud idea supaya ruang alternatif dapat dilahirkan untuk menentang autoriti. Oleh itu, jika terdapat kepercayaan kepada autoriti dalam masyarakat, Rumah Api pula sebaliknya. Bahkan, hampir semua memilih untuk tidak mendaftar sebagai pengundi untuk pilihan raya. Hal ini dapat dilihat sebagai protes mereka yang pesimis bahawa pilihan raya boleh melakukan perubahan. Secara tidak langsung, budaya penentangan memberikan petunjuk sama ada Rumah Api bersifat politik (political) atau polos politik (apolitical). Hal ini kerana budaya penentangan boleh ditandakan dengan tindakan empirikal yang mempengaruhi proses politik. Ia menentukan sama ada mereka memiliki sifat-sifat parokial, subjek atau partisipan (Verba dan Almond, 1963). Hal ini seakan-akan menggambarkan bahawa Rumah Api tidak menaruh harapan kepada penguasa. Mereka tidak mempercayai pemerintah dan berpendapat bahawa cara terbaik untuk hidup adalah dengan mendapatkan kebebasan. Menurut Grossberg (1997: 114):

In this context it is important to begin by admitting the obvious and painful truth that rock rarely challenges the political and economic institutions of society (and when it does, it is usually either marginal, utopian or hypocritical). It does not even challenge or attempt to negate the political and economic conditions of everyday life. It remains largely within the privileged space of everyday life, although it often imagines its romanticized other — its image of alienated rebellion, its black musical sources — as living outside everyday life.

Tetapi ia tidak bermakna bahawa mereka tidak mampu untuk menilai dan mengkritik, atau tidak memiliki kesedaran politik. Bahkan, mereka mempunyai pemikiran yang tajam terhadap isu-isu semasa. Ia dapat dilihat dalam aktivitiaktiviti mereka. Mereka mungkin polos politik kerana keyakinan bahawa kuasa adalah punca korupsi dalam pemerintahan. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat sebahagian individu di Rumah Api yang melakukan partisipasi dalam masyarakat dan bergiat aktif dalam pelbagai tindakan politik. Oleh itu, apabila merujuk kepada budaya penentangan di Rumah Api, ia akan berbalik kepada individu. Ia adalah sukar untuk menyatakan siapa yang lebih melawan kerana semua tidak memiliki tahap dan cara penentangan yang sama. Mungkin terdapat individu yang lebih serius untuk melawan dan mungkin ada pula yang bersikap acuh tak acuh. Maka, persoalan menarik yang dapat diungkitkan adalah penglihatan (visibility) terhadap budaya penentangan dalam komuniti punk itu; adakah pembangkangan mereka mesti ketara kepada orang lain dan diiktiraf sebagai penentangan?

Tindakan politik dan aksi langsung di Rumah Api mungkin dapat menimbulkan kesedaran politik kepada komuniti punk dan masyarakat. Namun, budaya penentangan itu mungkin hanya berhasil dalam peringkat simbolik sahaja. Aktiviti-aktiviti di Rumah Api menyarankan bahawa mereka jarang mendekati masyarakat di luar komuniti itu. Budaya penentangan di Rumah Api seakan-akan bergerak dalam lingkungan komuniti punk sahaja dan tidak sampai kepada masyarakat. Lantaran itu, timbul persoalan bagaimana Rumah Api mahu menentang sistem kapitalisme dan autoriti jika aktiviti-aktiviti mereka tidak diluaskan dalam masyarakat?

Dalam hubungan ini, komuniti punk di Rumah Api menyatakan bahawa perkara yang lebih signifikan dalam hal ini adalah tentang perubahan dalam individu dan budaya penentangan tidak patut disempitkan dalam konteks komuniti sahaja. Ia juga dapat dilaksanakan dalam kehidupan seharian masingmasing. Salah satunya adalah dengan mengurangkan penggunaan Rumah Api. Ahli-ahli mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada Rumah Api untuk memulakan sebarang aktiviti. Terdapat sebahagian yang bergerak secara mandiri dan bekerjasama dengan kolektif-kolektif lain. Justeru, aktiviti-aktiviti di Rumah Api dapat dianggap sebagai dorongan kepada mereka untuk mempercayai kebolehan sendiri. Di samping Rumah Api, mereka juga mengikuti acara-acara oleh pelbagai komuniti lain seperti berbasikal beramai-ramai (critical mass), grafiti, "candlelight vigil", teater, bacaan puisi dan sebagainya. Ia menunjukkan hampir semua aktiviti di Rumah Api menekankan aspek keseronokan dan kesenian. Hal ini mencadangkan bahawa penentangan Rumah Api tidak semestinya sesuatu yang kelihatan tegar. Perkara ini disokong dengan kajian Rokiah (2004) yang menyatakan bahawa keseronokan adalah tindakan kolektif untuk mencetuskan kegembiraan dan sebagai bantahan kepada batas-batas budaya dan autoriti. Oleh itu, idea dan perjuangan di Rumah Api bukan sahaja bergerak atas inisiatif komuniti itu, bahkan dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Ia dapat dilihat bahawa prinsip DIY, anarkisme, ruang bebas dan sebagainya memberikan kesan dalam penentangan mereka kepada sistem kapitalisme dan autoriti. Menurut Arip5 :

Rumah Api adalah autonomous centre. Autonomous bermaksud kami bebas dari segala kawalan daripada orang luar seperti badan korporat, parti politik, institusi agama dan NGO. Kami melakukan aktiviti yang kami organize sendiri. Di Rumah Api, kami ada prinsip. Segala aktiviti kami lakukan adalah untuk benefit komuniti punk (lebih tertumpu kepada DIY yang menolak kapital sebagai pegangan hidup) dan juga untuk komuniti di luar. Kami menolak segala unsur diskriminasi seperti rasisme, fasisme, seksisme dan homofobia. Rumah Api juga bukan di-run untuk profit. Kami di Rumah Api lebih senang cakap adalah anti-authoritarian. Bagi kami, budaya punk dan anti-authoritarian memang sinonim…

Rumah Api juga mungkin dekat dengan aksi langsung (direct action). Menurut Schock (2005), aksi langsung adalah apabila seseorang atau sekumpulan manusia bertindak untuk mencapai sesuatu matlamat tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak. Di Rumah Api, praktik aksi langsung ini dilihat dalam aktiviti mereka yang diberi nama Really, Really Free Market. Berbeza dengan kapitalisme yang begitu mementingkan keuntungan, aktiviti Rumah Api ini pula menitikberatkan nilai guna. Mereka memberikan perkhidmatan atau barangan yang masih bermanfaat secara percuma kepada sesiapa sahaja, termasuklah baju, buku, alatan elektrik dan lain-lain lagi. Mereka tidak meminta sebarang pulangan atau keuntungan daripada aktiviti Really, Really Free Market ini. Justeru, ia dapat dikatakan bergerak dalam lingkungan model "gift economy".

Menurut Cheal (1988), ia adalah cara pertukaran apabila sesuatu benda yang berharga tidak akan dijual. Ia bertentangan dengan ekonomi pasaran dan ekonomi barter kerana tiada nilai pertukaran dalam aktiviti itu. Justeru, aktiviti ini menyarankan kritikan Rumah Api kepada penswastaan, komersialisme, ketamakan dan sebagainya yang meluas di Malaysia. Malah, sejak Rancangan Malaysia Kedua (1971–1975), agihan ekonomi hanya ditumpukan kepada kekayaan peribadi dan kapitalisme semakin berkembang di negara ini (Lee, 2004). Ironinya, aktiviti ini diadakan bersebelahan dengan premis Rumah Api dan promosi tentangnya mungkin cuma dilakukan di laman sosial atau melalui sebaran poster. Maka, masyarakat setempat dilihat tidak mengetahui dengan lebih lanjut dan hanya sebahagian yang menyedari tentang aktiviti itu. Ia berbeza dengan pendapat bahawa tempat yang baik untuk mengadakan aktiviti kemasyarakatan adalah di ruang awam. Carr et al. (1992) menyebut bahawa ia harus dipanjangkan di taman awam, kawasan rekreasi, dataran dan lain-lain lagi. Hal ini untuk mewujudkan komunikasi bersemuka, kesan sosial yang luas dalam masyarakat, dan lebih ramai orang yang berpartisipasi (Habermas, 1991). Justeru, ia mungkin harus dilaksanakan di tempat-tempat yang mempunyai signifikan politik untuk merebut kembali fungsi ruang awam dan untuk meningkatkan kepekaan masyarakat. Apatah lagi apabila budaya penentangan perlu mendapat penglibatan dan kesedaran massa.

Aktiviti Food Not Bombs Kuala Lumpur pula bertujuan untuk mengkritik kegagalan pemerintah dan sistem kapitalisme kerana masih banyak warga miskin kota dan gelandangan biarpun wujud pembangunan pesat di ibu kota itu. Dalam aktiviti ini, mereka memasak sendiri makanan dan mengedarkannya secara percuma kepada sesiapa sahaja, khususnya para gelandangan dan warga miskin kota di Kuala Lumpur. Bahan-bahan mentah didapati secara percuma di pasar yang berdekatan. Aktiviti ini menunjukkan kesungguhan mereka untuk menentang jurang sosial yang disebabkan oleh ketidakadilan sistem kapitalisme. Malah, ia memberikan idea bahawa Rumah Api sememangnya boleh terlibat dengan masyarakat di luar komuniti mereka. Ia juga mengesyorkan bagaimana komuniti itu masih boleh mengekalkan identiti punk untuk menentang kapitalisme bersama-sama dengan masyarakat di luar lingkungan mereka.

Kedua-dua aktiviti tersebut menunjukkan bahawa Rumah Api adalah sebahagian daripada sebuah gerakan yang lebih besar dalam menentang kapitalisme di peringkat global. Food Not Bomb dan Really-Really Free Market adalah aktiviti yang lahir daripada gerakan anarkis di Amerika Syarikat dan kemudian dilakukan oleh anarkis di seluruh dunia. Rumah Api turut mengadakan aktiviti tersebut sebagai bentuk solidariti perjuangan dan manifestasi ideologi yang mereka yakini.

Dalam memberikan reaksi terhadap keadaan semasa di peringkat tempatan pula, Rumah Api terlibat dalam Kempen Penentangan Terhadap Projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE). Bantahan ini diadakan bukan sahaja kerana projek tersebut menjejaskan komuniti punk dan masyarakat setempat, bahkan projek tersebut merupakan tindakan kerajaan yang lebih mementingkan syarikat-syarikat kapitalis berbanding kebajikan rakyat. Apatah lagi apabila tiga buah plaza tol akan ditempatkan di beberapa lokasi. Justeru, mereka telah melancarkan kempen untuk menyampaikan maklumat dengan lebih luas termasuk di luar kelompok punk seperti mengadakan gig dan menghasilkan kemeja-T "Stop Eviction, Save Rumah Api".

AKTIVISME POLITIK SEMASA RUMAH API

Perkembangan semenjak 2014 memperlihatkan Rumah Api semakin menonjolkan diri dalam ruang awam. Malah kehadiran mereka kelihatan agak menonjol berbanding peserta lain. Peralihan ke partisipasi yang lebih terbuka ini dihujahkan berlaku disebabkan oleh perkembangan politik semasa. Sebelum itu, kebanyakan protes awam didominasi oleh parti politik dan isu-isu yang bersifat politik seperti reformasi pilihan raya dan Anwar Ibrahim. Namun perkembangan selepasnya menyaksikan isu-isu kepentingan bersama mula diketengahkan dan Rumah Api dilihat mengambil bahagian dengan lebih aktif. Mereka biasanya datang secara berkelompok dengan semua memakai pakaian hitam. Sebahagian mereka menggunakan penutup wajah berwarna hitam dan mengibarkan bendera merah hitam yang menjadi simbol kepada jaringan Anti Fasis (Antifa) sedunia. Kadangkala mereka menyalakan suar dan bunga api sehingga selalu disalahertikan sebagai tindakan provokasi dan meresahkan peserta demonstrasi yang lain. Dalam bahasa aktivis antarabangsa, kaedah aksi seperti ini dikenali sebagai Black Bloc. Menurut Graeber (2013: 13–14):

There is a widespread impression that "the Black Bloc" is some kind of murky organization, given to ultra militant anarchist ideologist and tactics. Actually, it's a tactics that activists—usually anarchists—can employ at any demo; it involves covering one's face, wearing firly uniform black clothing, and forming a mass willing and able to engage in militant tactics if required.

Dalam demonstrasi menentang Goods and Service Tax (GST) pada Hari Pekerja 1 Mei 2014 di Dataran Merdeka, kehadiran mereka mencetuskan kekecohan dengan sekumpulan Unit Amal Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan pihak media (The Malaysian Insider, 2014). Ketika perhimpunan Hari Pekerja 1 Mei 2015 pula, 29 orang yang dikatakan daripada kumpulan anarkis dan punk dari Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain telah ditahan selepas perhimpunan tamat. Dalam perhimpunan itu, mereka sebetulnya mahu mengkritik tindakan kerajaan yang mementingkan produk kapitalis berbanding rakyat (Melati dan Gomez, 2015). Terkini, pada 28 Ogos 2015, iaitu pada malam sebelum perhimpunan Bersih 4.0, pihak polis telah menahan 163 orang dengan tuduhan memudaratkan demokrasi berparlimen, kesalahan perhimpunan haram dan kesalahan permit hiburan. Penahanan ini tidak dapat ditolak kemungkinan kaitannya dengan tajuk gig pada malam itu; "Party Tonight, Revolution Tomorrow", dan sentimen bahaya anarkisme disebabkan penglibatan mereka dalam protes atau demonstrasi sejak kebelakangan ini (Malaysiakini, 2015). Tindakan yang diambil terhadap mereka menunjukkan bahawa komuniti punk di Rumah Api sudah dianggap sebagai suatu ancaman kepada pemerintah.

KESIMPULAN

Kepercayaan politik seseorang adalah tindak balas keperibadian dan beberapa pengaruh sosial lain yang menyumbang kepada budaya politik semasa (Leeds, 1981). Dalam konteks budaya penentangan, keberadaan Rumah Api dapat dilihat sebagai penggerak sosial (social cause) untuk melawan khususnya kepada kapitalisme. Identiti kolektif dalam komuniti punk itu diangkat supaya nilai-nilai bersama dalam kalangan mereka boleh dijadikan sebagai pemangkin untuk aksi langsung dan tindakan politik. Justeru, budaya penentangan dapat menghubungkan berbagai-bagai usaha Rumah Api yang dianggap sebagai kumpulan bukan pilihan (underdog) untuk terlibat dalam hubungan dialektik dengan sistem kapitalisme dan autoriti. Ia terjadi secara perlahan-lahan apabila Rumah Api menolak nilai utama dalam masyarakat dan cuba untuk menggantikannya dengan nilai alternatif. Mereka kemudian memiliki potensi untuk menggerakkan suatu gerakan sosial. Namun, komuniti punk seolah-olah tidak mempunyai daya dan sumber kukuh untuk melawan dengan lantang. Penolakan Rumah Api kepada sebarang aturan juga seakan-akan boleh meletakkan mereka dalam situasi untuk tidak melakukan apa-apa. Walau bagaimanapun, budaya penentangan di Rumah Api dapat menyarankan bahawa ia boleh dilihat sebagai alat yang seharusnya dapat melebihi sub-budaya dan budaya dominan. Tidak dapat dinafikan bahawa ia cuma asas kepada kebebasan mereka. Tetapi proses-proses perubahan ini sebetulnya memiliki kaitan dengan kefahaman politik.

Justeru, ia memberikan gagasan bahawa jika sekumpulan manusia bersatu dan bekerjasama, mereka setidak-tidaknya boleh mencabar status quo dan mendapat kebebasan yang diinginkan. Bahkan, selain sebagai ruang untuk menyebarkan idea anti-kapitalisme dan anti-autoriti, Rumah Api juga memudahkan proses sosialisasi dan interaksi dalam kalangan komuniti punk itu. Oleh itu, Rumah Api boleh dilihat sebagai perantara untuk memperlihatkan kesatuan idea yang sama. Perkara ini dapat menjelaskan bahawa penentangan di Rumah Api seakan-akan berakar daripada idea-idea tentang identiti dan budaya punk dengan hubungan dikotomi yang berlainan seperti benar atau salah, setuju atau bantah, menurut atau melawan, dan sebagainya lagi.

PENGHARGAAN

Penulis merakamkan penghargaan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia yang menaja kajian ini menerusi Geran GGPM-2014-009.

NOTA

1. Wan Hamidi Hamid. Temu bual. 12 November 2013. Aliran punk di Malaysia, Kuala Lumpur. 2. Joe Kidd. Temu bual. 30 Disember 2013. Aliran punk di Malaysia, Rumah Api, Ampang, Kuala Lumpur. 3. Arip. Temu bual. 24 September 2013. Rumah Api, Ampang, Kuala Lumpur.

4. Federasi ANTARA telah sepakat diwujudkan ketika acara "Lepak Anarki" di Rumah Api. Ia telah dihadiri oleh banyak kolektif anarkis dan bukan anarkis dari seluruh Semenanjung Malaysia. Federasi itu bertujuan untuk menyatukan semua kolektif itu di bawah satu bumbung yang sama.

5. Arip. Temu bual. 24 September 2013. Rumah Api, Ampang, Kuala Lumpur.

RUJUKAN

Adler, P. A. and P. Adler. 2002. Teen scenes: Ethnographies of adolescent cultures. Journal of Contemporary Ethnography 31(5): 652–660. Amoroso, D. J. 1996. Traditionalism and the ascendancy of the Malay ruling class in colonial Malaya. PhD diss., Cornell University. Andes, L. 1998. Growing up punk: Meaning and commitments careers in a contemporary youth subculture. In Youth culture: Identity in a postmodern world, ed. J. S. Epstein, 212–231. Oxford: Blackwell. Asharil Suhardi Abdullah. 2005. Perhiburan sub-budaya punk dalam kalangan remaja Melayu Kuala Lumpur. Master's diss., Sekolah Pengajian Siswazah, Universiti Putra Malaysia. Azmyl Md. Yusof. 2010. Facing the music: Music subcultures and "morality" in Malaysia. In Media, culture and society in Malaysia, ed. Yeoh Seng Guan, 179– 196. Abingdon: Routledge. Bennett, A. and K. Kahn-Harris. 2004. Introduction. In After subculture: Critical studies in contemporary youth culture, ed. A. Bennett and K. Kahn-Harris, 1–18. Basingstoke: Palgrave MacMillan. Baron, R. A. and D. E. Byrne. 1984. Social psychology: Understanding human interaction. 4th ed. Boston: Allyn and Bacon. Blackman, S. 2005. Youth subcultural theory: A critical engagement with the concepts, its origins and politics, from the Chicago School to postmodernism. Journal of Youth Studies 8(1): 1–20. Byerly, I. B. 1998. Mirror, mediator, and prophet: The music Indaba of Late-Apartheid South Africa. Ethnomusicology 42(1): 1–44. Carr, S., M. Francis, L. G. Rivlin and A. M. Stone. 1992. Public space. New York: Cambridge University Press. Cartledge, F. 1999. Distress to impress? Local punk fashion and commodity exchange. In Punk rock: So what? The cultural legacy of punk, ed. R. Sabin, 143–153. London: Routledge. Cheal, D. J. 1988. The gift economy. New York: Routledge. Cheu Hock Tong. 1984. Peranan nilai-nilai agama dalam integrasi nasional. Ilmu Masyarakat 7(Oct–Dec): 81–92. Cohen, A. K. 1955. Delinquent boys: The culture of the gang. Illinois: The Free Press. Deutsch, M. and H. B. Gerard. 1955. A study of normative and informational social influences upon individual judgment. Journal of Abnormal and Social Psychology 51(3): 629–636. Douglas, J. 1970. Tribal literature: Publications of the counter culture. S4030.T7, California State Library.

Drewett, M. 2003. Battling over borders: Narratives of resistance to the South African border war voiced through popular music. Social Dynamics 29(1): 78–98. Duncombe, S. 1997. Notes from underground: Zines and the politics of alternative culture. London: Verso. Dunn, K. 2008. Never Mind the bollocks: The punk rock politics of global communication. Review of International Studies 34(1): 193–210. Epstein, J. S., ed. 1998. Youth culture: Identity in a postmodern world. Oxford: Blackwell Publishers. Farish A. Noor. 1999. Values in the dynamics of Malaysia's internal and external political relations. In Changing values in Asia: Their impact on governance and development, ed. Han Sung-Joo, 146–176. Tokyo: Japan Center for International Exchange. Feuer, L. S. 1969. The conflict of generations: The character and significance of student movements. London: Heinemann. Gelder, K. 2007. Subcultures: Cultural histories and social practice. London: Routledge. Geertz, C. 1964. Ideology as a cultural system. In Ideology and discontent, ed. D. Apter, 47–76. New York: Free Press. Graeber, D. 2013. The democracy project: A history, a crisis, a moment. London: Allen Lane. Grossberg, L. 1997. Dancing in spite of myself: Essays on popular culture. Durham: Duke University Press. Habermas, J. 1991. The structural transformation of the public sphere: An inquiry into a category of bourgeois society. Cambridge, MA: MIT Press. Hall, S. and T. Jefferson, ed. 1976. Resistance through rituals: Youth subcultures in postwar Britain. London: Hutchinson. Hansen, C. H. and R. D. Hansen. 1991. Constructing personality and social reality through music: Individual differences among fans of punk and heavy metal music. Journal of Broadcasting & Electronic Media 35(3): 335–350. Hebdige, D. 1979. Subculture: The meaning of style. London: Methuen. Hollander, J. A. and R. L. Einwohner. 2004. Conceptualizing resistance. Sociological Forum 19(4): 533–554. Inglehart, R. and D. Oyserman. 2004. Individualism, autonomy, and self-expression: The human development syndrome. In Comparing cultures: Dimensions of culture in a comparative perspective, ed. H. Vinken, J. Soeters and P. Ester, 74–96. Leiden: Brill. Izzudin Ismail. 2015. Tahanan Rumah Api. The Malaysian Insider, 4 September. http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/tahanan-rumah-api-izzudinismail (accessed 7 September 2015). Kratz, C. and B. Reimer. 1998. Fashion in the face of postmodernity. In The postmodern presence: Readings on postmodernism in American culture and society, ed. A.A. Berger, 193–212. California: Altamira Press. Latané, B. 1981. The psychology of social impact. American Psychologist 36(4): 343– 356. Leeds, C. A. 1981. Political studies. 3rd ed. Plymouth: Macdonald & Evans. Lee Hwok Aun. 2004. Development in Malaysia: Economics and politics of an idea. Akademika 64 (January): 65–81. Lutpi Ibrahim. 1993. Antologi pemikiran Islam. Shah Alam: Hizbi.

Malaysiakini. 2015. Punk Rumah Api jadi suspek kes politik. http://www.malaysiakini.com/news/310492 (accessed 30 August 2015). Marcus, G. 1989. Lipstick traces: A secret history of the twentieth century. Cambridge: Harvard University Press. McRobbie, A. 1994. Postmodernism and popular culture. London: Routledge. Musgrove, F. 1974. Ectasy and holiness: Counter culture and the open society. London: Methuen. O'Sullivan, T., J. Hartley, D. Saunders, M. Montgomery and J. Fiske. 1994. Key concepts in communications and cultural studies. 2nd ed. London: Routledge. Reich, C. A. 1972. The greening of America. Harmondsworth: Penguin. Riesman, D. 1950. Listening to popular music. American Quartely 2(4): 359–371. Rokiah Ismail. 2004. Sub-budaya muzik rock bawah tanah di kalangan remaja bandar. Akademika 64(1): 97–131. Rosselson, L. 1979. Pop music: Mobilizer or opiate. In Media, politics and culture: A socialist view, ed. C. Gardner, 40–50. London: Macmillan. Schock, K. 2005. Unarmed insurrections: People power movements in nondemocracies. Minneapolis: University of Minnesota Press. Sheehan, S. M. 2007. Anarkisme: Perjalanan sebuah gerakan perlawanan. Trans. Robby Kurniawan. Tangerang: Marjin Kiri. Smith, A. D. 1986. The ethnic origins of nations. Oxford: Blackwell. Sutherland, E. H. and D. C. Cressey. 1974. Principles of criminology. 9th ed. Philadelphia: Lippincott. The Malaysian Insider. 2015. Adakah tema konsert punca serbuan Rumah Api, soal kumpulan peguam. 1 September. http://www.themalaysianinsider.com/ bahasa/ article/adakah-tema-konsert-punca-serbuan-rumah-api-soal-kumpulanpeguam#sthash.EbTZQSVy.dpuf (accessed 6 September 2015). ______. 2014. Pemimpin politik sertai 20,000 penyokong Himpunan 1 Mei Bantah GST. http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/penyokong-perhimpunan-1- mei-mula-berkumpul-untuk-bantah-gst#sthash.DfhzBii0.dpuf. (accessed 6 September 2015).

Melati A. Jalil and J. Gomez. 2015. Di sebalik remaja yang ditahan semasa himpunan Hari Pekerja. The Malaysian Insider, 5 May. http://www.themalaysian insider.com/bahasa/article/di-sebalik-remaja-yang-ditahan-semasa-himpunanhari-pekerja (accessed 24 August 2015).

Mohd. Rizal Hamdan. 2012. Gitar dan peti undi: Orientasi sosio-politik dalam penghasilan karya seni oleh kumpulan aliran muzik underground di Malaysia. Paper presented at Malaysian Studies Conference 8 (MSC8), Bangi, Selangor. 9– 11 July.

Ross, L., G. Bierbauer and S. Hoffman. 1976. The role of attribution processes in conformity and dissent: Revisiting the Asch situation. American Psychologist 31(2): 148–157.

Sharifah Nursyahidah, Muhammad Febriansyah and Muhamad Takiyuddin Ismail. 2015. Kumpulan Marjinal dan Komunitas Taring Babi: Ikon perlawanan muzik punk di Indonesia dan Malaysia. Paper presented at International Conference on Multidiciplinary Research (ICMR 2015), Universiti Sains Malaysia. 19–21 August.

Thornton, S. 1995. Club culture: Music, media and subcultural capital. Cambridge: Polity Press. Umi Khattab. 2002. Gee, is anti-God anti-government? A moral panic in Malaysia. Paper presented at International Association for Media and Communication Research (IAMCR) Conference, Barcelona. 21–26 July. Verba S. and G. A. Almond. 1963. The civic culture: Political attitudes and democracy in five nations. Princeton: Princeton University Press. Williams, J. P. 2011. Subcultural theory: Traditions and concepts. Cambridge: Polity Press. Willis, P. 1978. Profane culture. London: Routledge & Kegan Paul. Willis, R. H. 1963. Two dimensions of conformity–nonconformity. Sociometry 26(4): 499–513. Wuthnow, R. 1976. The consciousness reformation. Berkeley: University of California Press. Yuen Kok Leong. 2008. Conforming to the non-conformity: An exploratory research on the do-it-yourself (DIY) underground music scene in Kuching, Sarawak. Paper presented at International Malaysian Studies Conference, Malaysian Social Science Association, Kuching, Sarawak. 5–7 August. Yinger, J. M. 1977. Presidential address: Countercultures and social change. American Sociological Review 42(6): 833–853. Zachariah, E. 2015. Anti-racism, anti-drugs Malaysian skinheads fight stereotypes. The Malaysian Insider, 22 January. http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/ article/anti-racism-anti-drugs-malaysian-skinheads-fight-stereotypes (accessed 23 January 2015). Zaharom Nain. 2002. The structure of the media industry: Implications for democracy. In Democracy in Malaysia: Discourses and practices, eds. Loh Kok Wah and Khoo Boo Teik, 111–138. Richmond: Curzon.